HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Oktober 2009

Husam nafi dakwaan jadi dalang kemelut parti

SINAR HARIAN ONLINE


KOTA BHARU - Pesuruhjaya II Badan Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Husam Musa menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan beliau sebagai dalang berhubung kenyataan dan idea yang dicadangkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Husam berkata, sebenarnya idea dan cadangan mengadakan EGM atau mesyuarat khas itu adalah pandangan 100 peratus daripada Nik Abdul Aziz.

“Nama saya dikaitkan dengan banyak perkara. Itu nasib saya. Tapi saya dapat bersabar sehingga kini dan saya tidak mengulas apa-apa tuduhan yang dibuat oleh sesetengah pihak.

“EGM ini semalam saya jumpa saya tanya dia lah walaupun ada orang kata sayalah di belakang cadangan tok guru itu. Tetapi itu adalah sebenarnya 1,000 peratus cadangan tok guru sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini semalam.

Beliau berkata, sebelum ini pun Nik Abdul Aziz kadang-kadang menyatakan pendiriannya sendiri tanpa dibincangkan dengan sesiapa.

“Tetapi saya rasa akhirnya yang keruh itu akan hilang dan yang jernih itu akan timbul. Kita akan tahu niat dan pendirian saya yang sebenar,” katanya.

Husam berkata, EGM yang dimaksudkan Nik Abdul Aziz bukanlah pemilihan semula sebaliknya hanya untuk menetapkan pendirian Pas berhubung isu kerajaan perpaduan dan Pakatan Rakyat.

“Saya tanya Tok Guru adakah ini EGM pemilihan semula seperti yang digembar-gemburkan media tetapi daripada penjelasan beliau ia bukan pemilihan semula sebaliknya hanya EGM penegasan bersama Pakatan Rakyat atau EGM bersama Barisan Nasional.

“Ia bukan EGM undi tak percaya kepada pemegang jawatan atau lain-lain. Jadi saya kira tujuan utama cadangan tersebut ialah untuk menjelaskan kepada rakyat identiti dan imej Pas sebelum pilihan raya ke-13. Sama ada bersama Pakatan Rakyat atau mempertimbangkan kerjasama dengan UMNO-BN,” katanya.

Ditanya pendirian beliau, Husam berkata, beliau ikut apa yang diputuskan parti.

1 ulasan:

MANSOR JUNUS berkata...

Husam mungkin orang kanan TGNA, tetapi adalah tidak menghormati sekiranya meletak TGNA sebagai seorang tokoh yang boleh makan pujuk atau mudah dipengaruhi. Beliau adalah seorang pemimpin besar yang menjadikan Islam sebagai landasan pemikirannya. Sesiapa yang meragui kewibawaan beliau eloklah suluh bali diri sendiri.