HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Oktober 2009

Pas Terengganu dakwa ada ‘pihak ketiga’

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA TERENGGANU – Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat tidak menolak kemungkinan ada ‘pihak ketiga’ yang cuba melaga-lagakan saf kepimpinan parti itu dengan mempengaruhi dan menimbulkan semula isu pemimpin Pas pro-UMNO.

Beliau percaya, keadaan itu telah menyebabkan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap wujudnya sikap seperti itu dalam kalangan segelintir pemimpin dalam parti itu.

“Kita lawan UMNO sudah lama dan tidak timbul lagi soal Kerajaan Perpaduan, tapi saya percaya perkara ini berlaku kerana rasa tidak puas hati sesetengah pihak yang tidak ‘lekat’ jawatan ketika bertanding sehingga isu ini timbul semula.

“Keadaan ini ditambah pula dengan kekalahan Pas dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang baru-baru ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Bagi menangani perkara itu, Satiful meminta kaedah lain difikirkan bagi menggantikan Muktamar Khas dan bersetuju dengan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa untuk mendapatkan penjelasan terperinci melalui Majlis Syura.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila isu Kerajaan Perpaduan dan pro-UMNO dibangkitkan semula.

“Sudah lama kita berlawan dengan UMNO dan sepatutnya tidak timbul isu ini (pro-UMNO dan kerajaan perpaduan). Isu kerajaan perpaduan adalah untuk melaga-lagakan. Ia tamat dan sudah pun diputuskan dalam dua Muktamar Pas sebelum ini bahawa kita bersama Pakatan Rakyat (PR),” kataya.

Bagaimanapun, Satiful menyambut baik cadangan Mursyidul Am itu kerana menyifatkan Pas adalah parti terbuka.

Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan pemimpin atasan kerap berjumpa untuk melancarkan kepimpinan bagi mengelak spekulasi yang boleh menjejaskan parti.

Tiada ulasan: