HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Oktober 2009

Nasharudin nafi beliau pemimpin Pas bermasalah

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa semalam menafikan beliau seorang pemimpin 'bermasalah' seperti yang didakwa Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya jika beliau seorang pemimpin bermasalah sudah tentu perwakilan tidak akan memilih beliau dan majoriti yang diperolehnya pada Muktamar Tahunan PAS ke-55 pada Jun lepas menunjukkan sebaliknya.

Nasharuddin, yang terkejut kerana namanya turut disebut oleh Menteri Besar Kelantan itu, bagaimanapun berkata ini adalah amalan biasa bagi pemimpin atasan untuk memberi nasihat kepada anggotanya.

"Cara kami bekerja dalam PAS ialah terutamanya pemimpin atasan lebihlebih lagi beliau (Nik Aziz) sebagai pemimpin berpengaruh sentiasa memberi nasihat kepada kami.

"Beliau juga sentiasa mengingatkan kami mengenai sebarang isu dan apa sahaja tetapi dalam kes ini teguran itu datang menerusi blog (Tok Guru)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Penafian itu merupakan kenyataan sulung Nasharuddin sejak Nik Aziz menamakan beliau sebagai antara "dua tiga kerat pemimpin yang bermasalah" dan mencadangkan parti itu mengadakan satu Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menentukan kedudukan pemimpin-pemimpin itu.

Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz dalam blognya, www.blogtokguru.com mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar 'dua tiga kerat' pemimpin dalam parti itu termasuk menyebut nama Nasharuddin, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Datuk Dr Hassan Ali yang merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Nik Aziz mendakwa perlunya ada perubahan dalam "pemainpemain utama" yang menduduki kerusi kepimpinan PAS di peringkat pusat ini kerana masih berterusan dengan isu kerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Nasharuddin, bagaimanapun berkata Nik Aziz telah memperjelaskan apa yang dimaksudkannya dalam tulisan berkenaan kepada Jawatankuasa PAS Pusat semalam, dan jawatankuasa itu telah membuat keputusan tidak mengadakan EGM sebaliknya digantikan dengan Seminar Politik.

Jawatankuasa PAS Pusat yang bermesyuarat lebih empat jam semalam sebulat suara memutuskan Muktamar Agung Khas (EGM) tidak akan diadakan, dan sebaliknya akan digantikan dengan seminar politik pada 7 Nov ini.

Selain itu, keputusan yang diumumkan Presiden parti itu turut mengarahkan jawatankuasa disiplin parti menyiasat PAS Selangor berhubung isu-isu yang dibangkitkan oleh Pesuruhjaya PAS negeri itu.

1 ulasan:

MANSOR JUNUS berkata...

Ustaz Nasa ini adalah seorang berilmu dan berwibawa. Perwatakan beliau juga lembut dan mudah didekati serta disenangi. Tetapi dalam politik itu tidak cukup. Ilmunya dalam siasah masih memerlukan banyak bimbingan. Dengan kedudukannya sebagai timbalan, banyak perkara boleh berlaku, sekiranya tidak berhati2 dan berwaspada. UMNO adalah pakar dalam pujuk dan belit dan macam Ustaz Nasa, kacang putih saja bagi mereka. Macam belajar pencak silat juga, jangan belajar dari satu guru saja.

Masalah beliau pada andaian saya ialah 'barangkali' beliau terkepung dengan jagoan2 dari Terengganu. Telah termakan budi dan malu alah. Mereka itu adalah 'failures'. Terengganu dalam tangan orang boleh rampas balik.