HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Oktober 2009

Nelayan pantai timur tidak boleh pohon lesen musim tengkujuh

BERNAMA


PASIR PUTEH: Nelayan di negeri Pantai Timur yang memiliki lesen bot A (tradisional) boleh memohon lesen musim tengkujuh untuk menangkap ikan di kawasan perairan lebih dua batu nautika dari pantai secara bebas, mulai esok.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marim (PGM) Polis Marin Wilayah Timur, DSP Tan Cheng San, berkata sebelum ini mereka hanya dibenarkan menangkap ikan melebihi lima batu nautika dari pantai.

"Kebenaran itu diberikan sehingga tamat musim tengkujuh awal tahun depan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program gotong royong di Jeram Linang, di sini hari ini.

Seramai 60 anggota pelbagai pangkat menyertai program membersih sampah sarap yang membabitkan kawasan riadah pusat rekreasi berkenaan yang popular di kalangan penduduk Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun beliau berkata mereka yang menceroboh kawasan dua batu nautika dari pantai, akan diambil tindakan di bawah Akta Perikanan 1985, kerana kawasan itu hanya dikhaskan kepada nelayan kecil yang menggunakan sampan.

Tan berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu termasuk pencerobohan nelayan asing yang dijangka mengambil kesempatan pada musim tengkujuh sebagaimana yang dilakukan pada setiap musim berkenaan.

Beliau berkata sebuah bot pantas RH21 yang mampu mengharungi ombak setinggi antara tiga hingga lima meter akan digunakan bagi menahan sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan itu.

"Kita juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan rakyat Thailand di sempadan dengan menyeberangi Sungai Golok untuk menyeludup beras dan barangan keperluan lain secara bebas ketika paras air sungai itu melimpah tebing," katanya.

Tiada ulasan: