Oleh ANWAR IBRAHIM
Bagaimana pula dengan kehilangan berbillion ringgit hasil penyelewengan, rasuah, pembaziran dan sebagainya? Skandal demi skandal terbongkar yang melibatkan puluhan billion ringgit daripada hasil cukai yang di bayar oleh rakyat? PKFZ, PERWAJA, SCORPENE dan sebagainya. Kebajikan Rakyat Di Utamakan?
1. Belanjawan tahunan merupakan polisi jangka pendek kerajaan. Selalu nya apa yang bentangkan Jumaat lepas akan dilupakan dan tidak diikuti sehingga belanjawan baru dibentangkan pula
2. Setiap kali belanjawan dibentangkan maka bergemalah slogan “belanjawan untuk rakyat”. Slogan Bajet 2010 adalah bajet berkebajikan untuk rakyat. Maka YAB Perdana Menteri mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan individu dari 27% kepada 26% bagi memasti kadar cukai pendapatan individu kekal kompetitif serta meneruskan agenda ekonomi berasaskan kreativiti, inovasi dan nilai ditambah tinggi menurut beliau. Selain itu kerajaan menaikkan pelepasan cukai daripada RM8 ribu kepada RM9 ribu, pelepasan dalam bayaran yuran internet, pembelian computer, kenaikan pelepasan caruman KWSP dan sebagainya.
3. Secara kasarnya rakyat menikmati peruntukan kebajikan dalam bentuk pengecualian dan pelepasan cukai hanya dalam lingkungan RM500 juta.
4. Walaubagaimana pun kerajaan mengenakan bayaran rm50 untuk kad kredit utama dan rm25 untuk kad tambahan. Dianggarkan kerajaan akan memperolehi pendapatan lebih daripada rm400 juta daripada yuran kad-kad ini yang keluar daripada poket rakyat. Ini tidak termasuk lagi cukai keuntungan hartanah sebanyak 5% yang diperkenalkan semula. Hasil daripada yuran kad dan cukai keuntungan hartanah ini jauh melebihi kebajikan yang diagihkan kepada rakyat melalui potongan dan pengecualian cukai.
5. Adakah benar bajet ini berkebajikan kepada rakyat? Apa yang berlaku ia bertentangan dengan usaha kerajaan untuk meneruskan agenda ekonomi berasaskan kreativiti, inovasi dan nilai ditambah tinggi. Poket rakyat makin kosong dan kuasa membeli merosot. Bagaimana kerajaan akan menjana permintaan dan penggunaan domestic untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dalaman sekiranya kuasa membeli rakyat merosot sedangkan pelaburan langsung asing terus merundum dengan teruk. Negara hanya mencatat kemasukan pelaburan langsung asing sebanyak rm3.6 billion berbanding rm19.7 billion tahun lepas?
6. Jumlah kebajikan untuk rakyat terlalu kecil jika dibandingkan dengan subsidi yang diterima oleh syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) atau syarikat-syarikat pemegang konsesi seperti tol, AP dan sebagainya.
7. Dalam laporan kewangan PETRONAS syarikat-syarikat konsesi IPP menikmati subsidi gas sebanyak rm20 billion pada tahun 2008 dan bertambah kepada rm22 billion tahun 2009. Siapa yang menikmati kebajikan yang sebenarnya? RAKYAT ATAU SYARIKAT PEMEGANG KONSESI? Bayangkan jika subsidi ini diagihkan kepada rakyat. Setiap rakyat Malaysia akan mendapat lebih kurang rm815 seorang.
8. Bagaimana pula dengan kehilangan berbillion ringgit hasil penyelewengan, rasuah, pembaziran dan sebagainya? Skandal demi skandal terbongkar yang melibatkan puluhan billion ringgit daripada hasil cukai yang di bayar oleh rakyat? PKFZ, PERWAJA, SCORPENE dan sebagainya. Kebajikan Rakyat Di Utamakan?
PENGURUSAN EKONOMI LEMAH – DEFISIT 13 TAHUN BERTURUT-TURUT
9. Walaupun belanjawan deficit kali ini lebih kecil daripada yang dijangkakan tetapi perlu diingatkan banyak lagi belajwan-belanjawan tambahan, pakej rangsangan, perbelanjaan “off-budget” dan sebagainya akan dibentangkan sepanjang tahun 2010. Maka deficit akan terus meningkat.
10. Adakah benar kerajaan berbelanja deficit kerana “kebajikan rakyat didahulukan” atau kelemahan dalam pengurusan ekonomi pimpinan kerajaan sekarang. 13 tahun berturut-turut kerajaan membentang belanjawan deficit baik dalam keadaan harga petroleum dan komoditi melambong tinggi, ekonomi mengalami pertumbuhan pesat apatah lagi dalam keadaan kemelesetan ekonomi.
11. Akibatnya hutang Negara meningkat 18.3% daripada RM306.4 billion pada tahun 2008 kepada RM362.5 billion tahun 2009. Sejak 2006 hutang Negara meningkat 49.7% daripada Rm242.2 billion. Dalam masa yang sama peratusan hutang Negara dengan KDNK meningkat 41.5% pada tahun 2008 kepada 52.4% tahun 2009. Ini amat membimbangkan dan menjejas Fitch Rating Negara yang mana “rating” matawang Negara telah terjejas daripada A+ kepada A awal tahun ini.
12. Masalah defisit sebenarnya berpunca dari kegagalan BN yang mengurus ekonomi untuk menganjakkan negara dan rakyat ke arah ekonomi tambah nilai sehingga menjejaskan pendapatan negara.
13. Pelbagai langkah dan peruntukkan diumumkan untuk memacu ekonomi menyertai ekonomi nilai tinggi sejajar dengan negara-negara yang baru mencapai tahap maju seperti Singapura, Korea Selatan dan sebagainya. Malangnya, statistik terus menunjukkan kemerosotan pendapatan yang secara langsung menyumbang kepada masalah defisit.
14. Keutamaan dalam pembangunan ekonomi jauh tersimpang. Kerajaan memberi keutamaaan yang berlebihan kepada pembangunan infrastruktur awam (public hardware infrastructure) dan mengabaikan keperluan infrastruktur social dan teknikal. Pembangunan infrastruktur teknikal dan social termasuk pembangunan dalam peningkatan kualiti sumber manusia, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, pencegahan jenayah dan sebagainya.
15. Rasional ekonomi kerajaan BN berlandsakan Ekonomi Naungan (Patronage Economy). Pembinaan projek-projek dan infrastruktur awam mega merupakan jalan paling mudah dan cepat mengagih habuan kepada konco-konco politik dan kontraktor-kontraktor UMNO-BN. Ini membantut penyediaan iklim persaingan yang sihat dalam ekonomi.
16. Kerajaan tidak upaya melonjak ekonomi ke tahap yang boleh menggandakan penjanaan pendapatan – iaitu ekonomi tambah nilai kerana terlalu bergantung kepada komoditi, petroleum, pembuatan dan perkilangan yang mana kita tidak mempunyai kelebihan lagi dari segi kos efisiensi berbanding negara-negara membangun lain.
17. Kerajaan hilang daya kreatif dan inovatif untuk menambah pendapatan Negara kerana terlalu bergantung kepada pendapatan industri petroleum. Bagaimana kerajaan dapat membimbing rakyat agar berdaya kreatif dan inovatif untuk meningkat kepada berpendapatan tinggi?
18. Kemelesetan ekonomi yang sedang kita alami sekarang bermula dari keruntuhan institusi kewangan Amerika Syarikat akibat kejatuhan Lehman Brothers yang digambarkan sebagai runtuhnya system capitalis Amerika Syarikat. Fahaman kepenggunaan (consumerism) AS berdasarkan kepada hutang, baik peribadi, masyarakat maupun kerajaan yang semua berusaha menikmati kehidupan selesa sebelum pendapatan diperolehi. Mereka meminjam dari masa depan.
19. Fahaman ini berdasarkan andaian bahawa pendapatan dan ganjaran akan terus meningkat dari masa ke semasa dan peningkatan ini dapat melangsai hutang-hutang dengan ada lagi lebihan yang dapat digunakan untuk persaraan. Fahaman ini menolak andaian kemungkinan keadaan dan misalan yang mungkin mengurang atau menyusut pengaliran masuk pendapatan seperti kehilangan pekerjaan, kerugian dalam pasaran saham, keruntuhan dana persaraan yang mungkin menyusut aliran dan menghapus milikan harta benda termasuk tempat kediaman.
20. Hakikatnya inilah yang sebenarnya berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah. Ia adalah masaalah ekonomi yang timbul daripada masaalah kewangan yang dihasilkan oleh hutang secara besar-besaran.
21. Keadaan nya sama untuk Negara. Kita telah meminjam dari masa depan dan terpaksa membayarnya sekarang. Walaupun Negara secara teori berdaya mengeluar wang secara sembarangan dengan itu meningkatkan hutang negara atau berbelanja deficit, amalan sedemikian tanpa kawalan meletakkan ekonomi Negara dalam bahaya untuk menjana pertumbuhan yang diperlukan dengan kadar inflasi yang minima.
22. Salah satu sebab ranking Negara merosot ialah kepercayaan yang diperolehi dari bajet deficit yang akan meningkat sehingga 5.6% daripada KDNK, dengan KDNK merosot ketahap begitu kritikal dalam dua suku yang lepas. Defisit Negara sudah capai ketahap maxima dan tidak boleh lagi ditingkatkan lebih dari itu. Negara telah membentang belanjawan deficit 13 tahun berturut-turut. Deficit yang berterusan sudah tentunya memberi implikasi yang negative kepada nilaian ringgit dan “daulah” nota dan kertas pinjaman Negara atau “sovereign notes and papers”.
KEBERGANTUNGAN KEPADA PENDAPATAN INDUSTRI PETROLEUM
23. Bagi tahun 2008; kerajaan memperuntukkan RM177 billion yang mana RM74 billion (42%) disumbang oleh PETRONAS. Ini tidak termasuk hasil dari syarikat-syarikat industri petroleum lain. Sekiranya diambil kira dianggarkan pendapatan daripada industri petroleum mencecah lebih 60%.
24. bayaran yang dibuat oleh PETRONAS kepada kerajaan meningkat dua kali ganda dari tahun 2005 hingga 2009; sedangkan rizab petroleum dan gas kita tidak banyak berubah dan kos operasi meningkat 3 kali ganda dalam tempoh yang sama.
25. dalam tahun 2006, pecahan pungutan cukai langsung kerajaan adalah pada nisbah 46 % cukai syarikat, 32% cukai petroleum dan 15% cukai individu. Kerajaan tidak mengumumkan pecahan pendapatan cukai yang dijangka dalam tahun 2010, tetapi jangkaan umum adalah cukai petroleum sudah melebihi sumbangan cukai syarikat; yang menimbulkan tanda tanya tentang daya saing ekonomi kita yang erlalu bergantung kepada industri petroleum.
26. dianggarkan hanya 2 juta dari 11 juta tenaga kerja di negara ini membayar cukai. Dari jumlah tersebut, dianggarkan hanya 10,000 pembayar cukai adalah pembayar cukai kadar tertinggi (highest tax rate payer); menggambarkan hanya 10,000 orang di Malaysia mendapat pendapatan lebih dari RM250,000 setahun. Ini melambangkan kegagalan BN melonjakkan ekonomi ke tahap lebih tinggi, sehingga tenaga kerja kita masih berkisar kepada kerja-kerja yang tidak mendapat pulangan tinggi – secara langsung menjejaskan pendapatan negara.
27. Negara tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa menaikkan cukai mulai sekarang dan dimasa hadapan. Negara dalam keadaan berhutang dan mesti dibayar. Kita sudah hidup terlalu lama dalam masa depan.
28. Sebelum cukai dinaikkan amat kritikal kerajaan menilai semula kewajaran penganugerahan konsesi tol, IPP, permit impot atau AP kepada perusahaan otomobil dan segala lesen dan permit yang diniagakan diatas dan bawah kaunter untuk mengaut keuntungan tanpa apa-apa pertimbangan yang amat membebankan pengguna.
29. Alternatifnya menarik balik penangguhan dan pemotongan cukai, subsidi, jaminan keatas pinjaman dan subsidi yang memberi jaminan keatas permintaan dan keuntungan keatas projek-projek dan konsesi penswastaan kerajaan yang sudah begitu lama. Jaminan keatas pinjaman yang sedemikian menyebabkan berlakunya skandal seperti KPFZ, Terengganu Sovereign Fund dan sebagainya.
30. Konsesi-konsesi lama perlu membayar permit, lessen dan grant sekarang. Kerajaan juga perlu memperkenal pengusaha-pengusaha baru dan menyingkir penguasaan oligarki yang dibina dalam ekonomi. Kita perlu meratakan tapak persaingan dan membiar persaingan terbuka dalam ekonomi atas premis syarikat yang mengeluar komponen, pemasangan nilai tambah dan komponen menyeluruh diberi keutamaan daripada yang hanya impot, pasangsiap dan diniagakan dalam pasaran.
31. Kerajaan perlu meneliti bajet dan menghapus pembaziran dan ketidak efisiensi berkaitan dengan perkhidmatan awam, projek dan program sedia ada. Secara teori kita dapat menyelamat sekurang-kurangnya 10% daripada belanjawan tanpa mengorban prestasi kerja dan penjimatan sedemikian dapat digunakan untuk mengurang bajet deficit.
32. Amat penting sikap dan kefahaman kakitangan kerajaan diorientasi untuk memandu tindak tanduk mereka. Mereka berkewajiban berkhidmat dan bukan TUAN yang menentu polisi awam mengikut pegangan peribadi mereka.
33. Kemudahan computer dan pemprosesan baru menghapus banyak ruang proses kerja dan kakitangan terutama bahagian perkhidmatan awam melibatkan penyimpanan fail dan rekod. Lebih ramai patut diletakkan di kaunter-kaunter untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada orang awam.
34. Dalam hal ini saya percaya sector awam sepatutnya lebih telus dan bertanggongjawab atas keputusan dibuat terutama yang berkaitan dengan penganugerahan lesen, permit dan konsesi kepada orang perseorangan atau perusahaan. Banyak yang diperkatakan untuk memperkemas dan memperbaiki mutu perkhidmatan awam tetapi tidak banyak yang terlaksana yang memberi impak kepada kerajaan.
35. Kita perlu memperbaiki dan meningkat mutu pengurusan dalam pasukan keselamatan, system penyerahan dan yang serba kekurangan untuk menjana pertumbuhan ekonomi.Apa yang saya cadangkan penilaian perkhidmatan awam, projek dan program berasas kepada prestasi bukan sahaja dari segi kerja yang disempurnakan tetapi impak dan kesan kepada rakyat seluruhnya.
36. Sudah sampai masanya kerajaan membaikpulih system cukai berhadapan dengan peningkatan deficit dalam konteks pendapatan merosot akibat kemelesetan ekonomi. Kerajaan terlalu bergantung kepada pendapatan hasil petroleum dan gas, cukai orang perseorangan dan korporat sebagai sumber pendapatan untuk belanjawan Negara menyebabkan hanya sedikit boleh digunakan untuk pembangunan yang diperlukan. Mengambil kira kemelesetan sekarang, adalah wajar mengurang cukai orang perseorangan dan korporat untuk memangkin pelaburan dan penggunaan dalam ekonomi.
37. Perubahan yang sedemikian tidak dapat dilaksanakan tanpa merangka dan melaksana system cukai baru sepertimana yang dilaksanakan di Negara maju seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) atau system cukai berdasarkan penggunaan keatas barangan dan perkhidmatan iaitu kita bayar apa yang kita gunakan. Mungkin ini akan menjadi tidak popular apabila terkena kepada golongan berpendapatan rendah.
38. Melalui GST kita dapat mengurangkan cukai perseorangan dan korporat sebagai kaedah untuk meningkat penggunaan dan ini bukan sahaja akan meningkat asas cukai tetapi menyedia insentif untuk sector perkhidmatan dan pengeluaran berkembang dalam ekonomi.
WUJUDKAN SISTEM CUKAI PROGRESIF
39. Kita perlu peka dan prihatin kepada masalah jurang pendapatan rakyat di Negara ini. Kita sedia maklum jurang kemiskinan yang wujud di antara negeri-negeri, di bandar dan desa – malah, wujud juga jurang yang besar di antara tenaga kerja di negara ini.
40. Anggaran yang dilaporkan sebelum ini ada menyebut bahawa jumlah pembayar cukai kadar tertinggi di negara ini tidak pun mencecah satu peratus dari jumlah keseluruhan pembayar cukai.
41. pelepasan-pelepasan cukai yang diumumkan dalam Bajet 2010 sebenarnya tidak mengmbil kira jurang pendapatan yang wujud di kalangan tenaga kerja kita.
42. Pada masa kini, seorang pembayar cukai akan membayar kadar tertinggi apabila pendapatan beliau mencecah RM100,000 setiap tahun.
43. Dalam keadaan ekonomi semasa, golongan professional pertengahan juga akan masuk di dalam kategori ini; walaupun pendapatan mereka adalah jauh lebih rendah daripada mereka yang mencecah RM500,000 atau RM1 juta setahun.
44. Adalah lebih adil dan berkebajikan jika kita mengiktiraf jurang pendapatan yang wujud ini – maka sistem cukai individu kita perlu lebih progresif.
45. Saya cadangkan agar satu kategori pendapatan tertinggi yang baru diperkenalkan untuk membezakan di antara mereka yang berpendapatan tertinggi dan golongan professional kelas pertengahan.
PERSAINGAN EKONOMI DAN KEADILAN SOSIAL
46. Dalam laporan “World Competitiveness Report 2009/2010” yang dikeluarkan oleh “The World Economic Forum (WEF)” Malaysia jatuh dari tangga 21 kepada 24 kerana kelemahan dalam kerangka peraturan baik perundangan maupun pentadbiran yang jatuh dari tangga 17 kepada 43 dalam masa 2 tahun.
47. Selain itu peningkatan kadar jenayah, saiz belanjawan deficit dan kelemahan dalam system penyampaian yang sudah ketinggalan menjadi kebimbangan juga. Pelabur menjadikan laporan ini sebagai panduan dalam menentu tempat mereka melabur. Lebih baik ranking Negara lebih menarik kita kepada pelabur.
48. Kelemahan yang menjejas daya saing Negara perlu diperbaiki seperti pencegahan jenayah, sistem perundangan dan kawalan pelaburan, penyelidikan dan pembangunan, infrastruktur era ekonomi baru seperti internet dan sebagainya bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan yang telah banyak ditawar oleh Negara-negara lain.
49. Sebelum ini Negara berada dalam kedudukan yang agak selesa baik dari segi ranking WEF ditangga 21 atau IMD (International Institute of Management Development) ditangga 18. Persoalan kritikal ialah samaada kejatuhan ranking ini disebabkan factor dalaman seperti pengolahan dasar dan polisi yang mana Negara lain menunjukkan lebih cekap dan mahir dalam pengurusan ekonomi mereka.
50. Sekiranya benar maka kita perlu perbaiki sekarang termasuk menggugur sebahagian dasar dan polisi yang telah usang dan tidak lagi berkesan kerana perubahan persekitaran persaingan. Polisi baru perlu diperkenalkan untuk berhadapan dengan cabaran perubahan ekonomi global untuk terus kehadapan berbanding dengan negara-negara lain yang semakin sengit bersaing.
KEADILAN SOSIAL
51. Dalam kita mengejar kedudukan ranking kita perlu mengimbangi pembangunan diantara semua kaum. Ini sedikit sebanyak menjejas daya saing dan kecekapan pengurusan ekonomi Negara. Saya berpuas hati sekiranya kita dapat mencapai kedudukan ke 18 atau 19 dalam masa terdekat dan terus memperbaiki kedudukan apabila kita berupaya menyesuai kelemahan dan kesempitan aliran atau “bottleneck” dalam pengurusan ekonomi.
52. Kedudukan yang tinggi dalam daya saing dan efisiensi Negara samaada dapat dicapai atau tidak ditentukan oleh tahap persediaan Negara membiar kuasa pasaran berperanan menentukan aliran peruntukkan dan pengagihan sumber kekayaan Negara dengan campurtangan kerajaan yang minima melalui dasar, polisi, pentadbiran, undang-undang dan peraturan.
53. Ekonomi yang berdaya saing tinggi difahami berpengetahuan dalam pengurusan sumber dan sumber yang berkurangan. Dengan cara ini pertumbuhan ekonomi dapat dicorak dan dipertahan untuk menjana Pendapatan Negara Kasar yang tinggi. Dalam Negara penduduk yang serumpun teori ini boleh digunapakai tetapi amat sukar dalam masyarakat berbilang kaum yang berbeza aspirasi dan kedudukan ekoomi.
54. Indeks daya saing dan kecekapan global merupakan panduan penting untuk pelabur antarabangsa memutus tempat pelaburan. Negara yang ingin menarik pelaburan langsung sudah tentunya akan menyediakan iklim yang menarik dan berdaya saing untuk menawan mereka.
55. Buat masa ini jenis ekonomi yang efisien dan berdaya saing tinggi tanpa campurtangan kerajaan tidak sesusai untuk Negara tetapi mungkin akan menjadi kenyataan dalam dua tiga dekad lagi sekiranya kita meletakkan batu asas yang kukuh kearah itu dan dalam masa yang sama menyelesai masaalah kemiskinan dan merapatkan jurang perbezaan diantara yang kaya dan miskin.
56. Sekarang kita mesti menyelesai masaalah kemiskinan dan ketidak saksamaan pengagihan kekayaan diantara kaum walaupun ia akan menjejas daya saing dan kecekapan Negara. Index WEF tidak mengambil kira usaha membetul ketidaksaksamaan social berbanding IMD yang mengambil kira. Kemiskinan dan ketidaksaksamaan dalam pendapatan menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah yang menjejas daya saing Negara.
57. Kita perlu mengolah polisi jaringan social untuk mereka yang lemah dan terpinggir dalam ekonomi kerana ketidakupayaan mereka bersaing dalam ekonomi. Kita tidak boleh mencipta ekonomi yang berdaya saing tinggi tanpa mengimbangi keperluan membasmi kemiskinan dan ketidaksaksamaan pendapatan. Saya berpuas hati sekiranya kedudukan kita berada sekitar ke 20an atau lebih tinggi sekiranya kita berjaya menyelesai masaalah kemiskinan Bandar dan luar Bandar dan dalam masa yang sama meningkat daya saing Negara.
58. Kita perlu mengkaji dasar yang diolah untuk memaju dan menyusun ekonomi berdasar pemilikan dan penglibatan berlandaskan kaum dalam ekonomi. Barangan dan perkhidmatan social dan ekonomi sepatutnya boleh digunakan oleh semua tanpa mengira kaum tetapi mereka yang mempamer kebolehan dan kesungguhan untuk terlibat perlu dibantu kerajaan. Bantuan jangan sekali-kali disediakan berdasar kedudukan social, kuasa politik penerima. Penglibatan dalam ekonomi mesti berdasar merit, keupayaan dan iltizam keusahawanan. Mengambil kira dasar ini bantuan mereka yang tidak bernasib baik mesti diolah dengan cara yang tidak membantut daya saing Negara.
59. Atas dasar itu sedang kita perlu kepada ekonomi yang berdaya saing tinggi dan cekap kita juga perlu mengimbangi tuntutan dan keperluan golongan yang memerlu bantuan dan perlindungan kerana kedudukan ekonomi mereka hasil daripada dasar yang diolah untuk mencapai ekonomi daya saing tinggi dan cekap. Pendekatan yang seimbang diantara keperluan persaingan dan keperluan membantu mereka yang terpinggir amat penting dalam ekonomi Negara untuk membina masa depan yang berjaya.
PELABURAN LANGSUNG ASING
60. Pelaburan Langsung Asing atau FDI amat sensitive kepada ukuran keyakinan dalam ekonomi. Tertarik atau tidak mereka ke sesebuah Negara membuktikan keyakinan kepada kestabilan dan persaingan sesebuah ekonomi untuk mereka melabur. Pelaburan langsung asing merosot dengan begitu ketara dua tiga tahun yang lepas kedalam negara. Negara hanya mencatat kemasukan pelaburan langsung asing sebanyak USD7.3 billion tahun tahun 2008 berbanding dengan Indonesia USD 7.92 billion dan Vietnam USD 8.05 billion, Thailand USD 9.83 billion, Singapura USD22.8 billion. Tahun ini Negara hanya mencatat USD1 billion sahaja kemasukan FDI
61. Ada banyak sebab kemerosotan FDI yang begitu ketara sekali. Ada beberapa polisi yang menjadi batu penghalang kepada kemasukkan pelaburan langsung asing. UNTAD (United Nation Trade And Development) melaporkan Malaysia hanya berjaya menarik 2.6% sahaja daripada FDI pada tahun 2007 berbanding sekitar 8% pada pertengahna tahun 90an dan lebih daripada 10% pada tahun 80an.
62. Negara perlu kepada strategi baru untuk menarik pelaburan langsung asing baik dalam tarikan pelaburan maupun mengintergrasi pembangunan dengan ekonomi serantau yang pesat membangun seperti Thailand, Vietnam, Indonesia, India dan Cina yang mempunyai pasaran yang jauh lebih besar daripada Malaysia. Ini bergantung kepada kedudukan modal insane negara yang menjadi isu besar negara.
63. Baru-baru ini Kerajaan telah menghapus beberapa polisi yang menjadi penghalang kepada kemasukan pelaburan langsung asing dan jika diperlukan mempercepatkan lagi proses meliberisasi ekonomi. Kerajaan perlu menghapus polisi dan peraturan pentadbiran yang mengekang usaha kearah kebebasan pasaran.
64. Hakikatnya kerajaan tidak lagi berupaya mempengaruhi pembangunan dalam semua sector ekonomi untuk mencapai objektif social. Dalam konteks liberisasi pun kerajaan masih boleh menyedia pelbagai insentif untuk penglibatan golongan tertentu seperti menyedia kemudahan kredit daripada institusi kewangan dan sebagainya. Begitu banyak cara untuk membantu golongan kurang bernasib baik yang tidak membantut aliran bebas pelaburan dalam ekonomi. Melalui liberisasi ekonomi akan mempercepat pengaliran masuk pelaburan dan teknologi dalam ekonomi.
65. Kita perlu pelaburan asing bukan sahaja untuk mengurang beban kewangan kerajaan dalam pembangunan ekonomi tetapi juga teknologi baru yang dibawa bersama. Perusahaan tempatan tidak melabur dalam penyelidikan dan pembangunan menyebabkan Negara tidak berdaya dalam rekacipta untuk pengeluaran barangan dan perkhidmatan generasi baru untuk keperluan era baru ekonomi global.
66. Kerajaan, Universiti dan pusat-pusat penyelidikan tidak menyesuai atau berorientasi dibawah rancangan komprehensif dan bermakna dalam menyalur hasil penyelidikan dan pembangunan untuk menghasil barangan dan perkhidmaan yang diperlukan oleh ekonomi global. Ketiadaan factor teknologi dalam ekonomi Negara akan membantut usaha kerajaan untuk melonjak taraf ekonomi dibawah model baru ekonomi.
KUALITI INTERNET TERCOROT
67. Internet merupakan injin utama kepada perusahaan berpendapatan tinggi. Tanpa quality internet yang baik perusahaan yang kreatif dan inovatif serta tambah nilai tinggi tidak dapat beroperasi dengan efisien.
68. Dalam kajian terbaru yang dibuat oleh University Oxford mendapati kualiti broadband internet Negara amat tercorok. Negara menduduki tangga ke 48 daripada 66 negara.
69. Di kalangan Negara-negara Asia, Singapura, Taiwan dan Hongkong berada pada tahap selesa memenuhi keperluan aplikasi hari ini sementara Korea dan Jepun sudah berada dalam masa depan.
70. Negara-negara yang di kenal pasti sudah bersedia untuk masa depan termasuk Korea, Jepun, Sweden, Lithuania, Bulgaria, Latvia, Belanda, Denmark dan Romania dengan kelajuan melebihi 11.25 Mbps dan “upload” 1 Mbps.
KESELAMATAN DAN JENAYAH
71. Peningkatan kadar jenayah menjejas kedudukan ranking persaingan dan efisiensi Negara. Sebahagian masyarakat menghadapi kesulitan untuk menyesuai dengan kemodenan dan kemajuan ekonomi. Mereka terpaksa berpindah randah untuk memberi ruang kepada pembangunan kerana tanah mereka diambil sedangkan mereka tidak berupaya memiliki rumah dalam kawasan yang dibangunkan. Ramai dikalangan mereka tidak mempunyai atau berpeluang mendapat pendidikan tinggi dan terpaksa berkerja diperingkat bawahan atau buruh dengan gaji yang rendah.
72. Filem-filem yang memapar keperluan keganasan untuk menyelesai masaalah kepincangan social tidak membantu. Daripada bekerja kasar dan bergaji rendah mereka mengasingkan diri dari masyarakat dan terlibat dengan dadah dan keganasan sebagai cara untuk meluahkan perasaan mereka dan memandang jenayah sebagai sebagai cara alternative untuk mendapt ganjaran dan pulangan lumayan.
73. Sebahagian daripada mereka mewajar tindakan dan kelakuan mereka walaupun kejam kerana mempercayai tidak ada bezanya dengan pengusaha yang mengaut keuntungan melampau dengan menindas pekerja tanpa mengira kesusahan atau keperitan orang ramai atau penguatkuasa yang memeras, mengugut, mengambil rasuah dan malah membunuh untuk mendapat habuan daripada orang yang sepatutnya mereka lindungi. Perbezaannya hanya cara sahaja.
74. Saya ingin menekankan kemerosotan keselamatan dan peningkatan jenayah di Bandar bukan hanya disebabkan kemajuan dan pembangunan ekonomi tetapi juga masaalah kemiskinan dan ketidaksaksamaan dalam pengagihan kekayaan negara. Perancangan ekonomi mesti diperbaiki dengan mengolah polisi bagi memasti keadilan social berlaku untuk semua kaum.
75. Di pinggiran pembangunan ekonomi yang pesat berkembang masaalah jenayah kolar putih beroperasi dengan berleluasa. Skim cepat kaya dengan pelbagai cara penipuan, muslihat, pemalsuan, scam, dan sebagainya bercambah apabila orang ramai percaya mereka dapat menjejak kejayaan usahawan tulen melalui pelbagai skima yang diolah untuk menarik wang orang ramai “melabur’ seperti skim “pyramid”, “Pak Man Telor” dan sebagainya. Cara tidak penting tetapi keinginan menjadi cepat kaya melalui penipuan dan perdayaan.
76. Ekonomi yang berkembang pesat mengundang amalan kecurian dan penipuan seperti yang disaksikan dalam skandal WorlddotCom, Enron dan sebagainya hasil pertumbuhan pesat ekonomi Amerika Syarikat. Tidak kurang juga dengan apa yang berlaku dalam Negara seperti skandal Timedotcom, PKFZ, Perwaja dan banyak lagi yang masih dilindungi dan ditutup oleh pihak berkuasa.
77. Tidak ada bezanya kecurian dan penipuan yang berlaku disini cuma penguatkuasa sibuk dengan bagaimana dokumen kerajaan boleh terdedah daripada menyiasat penyelewengan yang berlaku atau bagaimana bendera dibeli dengan harga Rm2800 daripada menyiasat perbelanjaan peruntukan setahun dalam masa 2 bulan oleh YB-YB dulu.
78. Saya menyokong segala usaha untuk meningkat keamanan Negara. Negara amat perlu memoden dan memperlengkap pasukan polis dengan teknologi, teknik penyiasatan dan pengesanan terkini serta pasukan yang berdedikasi untuk mengawal walaupun dalam keadaan darurat. Negara perlu menggunakan technology, kelengkapan dan kemahiran moden untuk menyusun semula kawalan terutama dalam kecurian, rompakan dan keganasan berkaitan dengannya.
79. Begitu juga kawalan keatas jenayah kolar putih dan pembangunan system membantu masyarakat mengawal sendiri. Yang penting system kawalan dibantu bukan sahaja oleh sumber manusia tetapi juga teknologi sebagai pencegah. Semua ini mesti dirancang secara komprehensif dan bukan secara cebisan.
GELOMBANG KEDUA INISIATIF PENSWASTAAN
80. Penswastaan sepatutnya meringankan beban kewangan kerajaan. Apa yang berlaku di Negara ini penswastaan menambahkan lagi bebabn kewangan kerajaan. Daripada 99 GLC hanya 27 syarikat yang membuat keuntungan dan hanya 14 yang membayar cukai kepada kerajaan. Banyak yang mengalami kerugian dan kerajaan terpaksa menanggong kerugian kerana sebahagian pinjaman mereka dijamin oleh kerajaan pusat seperti PKFZ.
81. Dalam laporan audit terbaru 17 GLC meminjam dari kerajaan pusat. Kos pengurusan kerajaan meningkat dari Rm 46 billion tahun 1999 kepada Rm 160 billion tahun 2009.
82. Rakyat dibebankan dengan kenaikan kos sara hidup, air, elektrik, tol selepas gelombang penswastaan pertama dilaksanakan
83. Banyak syarikat terpaksa di’bail-out’ setelah diswastakan seperti MAS, LRT dan sebagainya yang mengguna berbillion ringgit wang rakyat yang membayar cukai
PENDIDIKAN
84. Indeks Pembangunan Insan (Human Development Index) yang dikeluarkan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan Malaysia jatuh dari kedudukan 63 kepada 66. Ini menunjukkan Negara-negara lain telah lebih kehadapan dalam pembangunan insane. Gini Coeffient juga menunjukkan Malaysia merupakan Negara yang paling tinggi jurang diantara yang kaya dan miskin di rantau ini.
85. Pendidikan menjadi kelemahan dalam daya saing Negara dan mungkin menjadi rintangan paling besar untuk pertumbuhan dan kejayaan masa depan ekonomi Negara. Kita telah mengabai fahaman tradisi bahawa prasyarat asas pembangunan modal insane untuk pertumbuhan ekonomi dan kejayaan masa depan dicapai hanya melalui penyediaan system pendidikan bertaraf dunia pertama.
86. Tidak ada satu pun universiti dalam negara menduduki tangga 100 malah 200 universiti terbaik dunia sedangkan sudah banyak universiti-universiti di Asia terutama dari Hongkong, China , Jepun, Singapura, Korea, Taiwan dan malah Thailand berjaya menduduki dalam kumpulan university terbaik dunia. Peningkatan kualiti pendidikan mereka jauh lebih maju dan kehadapan berbanding dengan system pendidikan kita.
87. Dalam ranking University terbaik Asia yang dinilai oleh QS Top Universities, 2 buah university dari Thailand iaitu University Mahidol menduduki tangga ke 30 dan Chulalongkong ke 35 berbanding dengan university terbaik Negara iaitu University Malaya yang hanya berjaya menduduki tangga ke 39. University of Hong Kong yang sama taraf dengan University Malaya satu ketika dahulu menduduki tangga no 1 sementara National University of Singapore tangga 10.
88. Penekanan kepada sains, teknologi serta sains asas seperti physics, kimia dan kejuruteraan di universiti-universiti tempatan terlalu kurang dan lemah sedangkan kita perlu mengorientasi Negara menceburi dalam era ekonomi global baru. Kita hanya berjaya mengeluarkan modal insan yang mampu menyelenggara ekonomi masa kini tetapi tidak berupaya memacu ekonomi dimasa hadapan. Kita masih bertelagah mengenai penggunaan bahasa untuk pelajar daripada memikir penguasaan matapelajaran sains dan teknologi untuk memacu Negara kehadapan.
89. Sistem pendidikan yang baik menjana modal insan yang berupaya mengeluar kemahiran berdaya kreatif, inovatif yang sentiasa mencipta barangan dan perkhidmatan baru untuk pasaran tempatan dan global. Tanpa modal insan yang berdaya kita tidak berupaya memacu ekonomi ke tahap sekarang dan tidak boleh mengolah model baru ekonomi yang digambarkan oleh kerajaan yang berdaya menimba, melibat dan menyumbang kepada ekonomi global.
90. Mana-mana pakar ekonomi bersetuju sudah terdapat jurang yang begitu luas dan tidak dapat diperbaiki lagi dalam dekad depan dari semua sudut kualiti modal insan yang diperlukan sekarang dan masa depan sekiranya kita terus mengabai system pendidikan Negara. Modal insan berkualiti tinggi agak sukar diperolehi dalam Negara sekarang.
91. Perubahan radikal diperlukan dalam system pendidikan Negara. Kita mesti mengeluar pelajar berkualiti, pemikir yang dapat bertindak secara bebas, berfikir secara berlainan dan inovatif serta mahir berkomunikasi dalam pelbagai bahasa. Pelajar2 ini mesti perolehi pengetahuan teknikal, kejuruteraan, matermatiks dan kemahiran amali terkini serta berupaya merancang dan membantu yang lain dalam perusahaan masa depan. Melainkan kita merubah system pendidikan Negara yang sudah jauh ketinggalan, daya saing Negara akan terus merosot dan harapan untuk menjadi sebuah Negara maju tidak akan tercapai.
92. Negara juga sedang mengalami pengaliran keluar pakar-pakar atau “brain drain” kerana mereka yang pintar dan berbakat tidak lagi melihat Negara sebagai tempat berpeluang untuk maju dalam ekonomi Negara dan ini digalakkan oleh ibubapa dan rakan-rakan dalam mengejar cita-cita dan kekayaan. Kita kehilangan mereka yang berbakat sekiranya daya kreatif dan kemahiran teknikal tidak diperguna dan diperlukan dalam ekonomi sekarang. Tidak ada motivasi untuk mereka merekacipta barangan dan perkhidmatan baru sekiranya Negara sendiri tidak ada kelebihan teknologi untuk digunakan dalam menggarap daya kreatif mereka. Mereka akan pergi ke destinasi lain yang lebih mencabar.
93. Disini saya ingin menekankan bahawa Negara China sendiri sudah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa dalam perdagangan, perniagaan dan Industri. Kita lihat kefahaman bahasa Inggeris di Cina sudah jauh berbeza. Dari sebuah Negara yang tidak langsung bertutur bahasa Inggeris di zaman Mao, teknokrat-teknokrat mereka hari ini fasih berbahasa Inggeris dan berkhidmat diserata dunia dan kita ketinggalan walaupun pada satu ketika dahulu Negara jauh lebih kehadapan dalam system pendidikan. Kita perlu menekan semula peri pentingnya bahasa Inggeris, bahasa ilmu, perdagangan dan kewangan dunia. Kita telah mengabai satu asset besar Negara untuk kepentingan politik.
MODEL BARU EKONOMI.
94. Sudah lama dicanangkan kerajaan sedang merencana model ekonomi baru yang memberi pertumbuhan pendapatan tinggi dengan objektif merubah ekonomi kepada pengeluaran barangan dan perkhidmatan bernilai tinggi dan meningkat keupayaan penggunaan tempatan sebagai pemacu utama ekonomi menggantikan sector pembuatan sejak berdekad yang lalu.
95. Mengikut definasi Bank Dunia , Malaysia diklasifikasi sebagai Negara berpendapatan sederhana dengan Pendapatan Negara Kasar (PNK) atau Gross National Income (GNI) sebanyak USD6500 per capita atau MYR22,500 setahun berbanding dengan Negara berpendapatan tinggi dengan USD 12,000 atau MYR41,600 per capita setahun. Untuk mencapai objektif ini Negara perlu melipatgandakan usaha meningkat PNK atau GNI dalam masa 10 tahun akan datang.
96. Pertumbuhan ekonomi Negara perlu mencapai 8% setahun. Kerajaan juga bercadang agar sector perkhidmatan menyumbang 60% daripada KDNK berbanding dengan sector pengeluaran yang akan kekal pada tahap 30% sekarang daripada KDNK.
97. Untuk menrealisasi model pertumbuhan tinggi kerajaan bercadang meliberasasi ekonomi dengan menyingkir polisi awam yang mengawal sector kritikal ekonomi terutama dalam kuota keistimewaan yang diberikan kepada bumiputera.
98. Umum berpandangan meliberalisasi ekonomi akan meningkat kemasukan pelaburan langsung asing dan teknologi baru. Pandangan ini mungkin benar tetapi dalam keadaan kemelesetan ekonomi sekarang kesannya akan mengambil masa yang panjang. Tetapi ia akan memangkin pelaburan tempatan yang merasakan diskriminasi kaum telah disingkirkan. Saya percaya kebanyakan rakyat menyokong dasar yang lebih liberal dan kurang kawalan dalam ekonomi dimana membebaskan individu meluahkan daya kreativiti tersendiri dalam mengejar pulangan dalam ekonomi.
99. Dalam konteks suasana ekonomi semasa dimana dunia dan negara baru mulai pulih dari kemelesetan ekonomi paling teruk sejak “Great Depression 1930” agak sukar mencapai wawasan yang dicanangkan kerajaan iaitu pertumbuhan ekonomi berpendapatan tinggi.
100. Tidak salah memeri “wawasan” untuk masa depan dan menghurai cadangan tindakan perjalanan ekonomi dari masa ke semasa untuk mencapai objektif yang dikehendaki. Ini hanya apa yang dipanggil “wawasan ekonomi”, satu strategi yang dicontohi oleh semua kerajaan samaada tercapai atau tidak. Ia hanya kenyataan tujuan dan objektif wawasan yang tidak akan ditunai selagi tatacara untuk mencapai tidak dikenal pasti atau isu lebih luas dan kesempitan aliran tidak diperbaiki. Setakat ini ia hanya wawasan yang tatacara untuk mencapainya belum dikenalpasti.
101. Hakikatnya kita hanya dapat mencapai model pertumbuhan tinggi sekiranya apa yang saya sarankan dilaksana dan diperbetulkan. Kita tidak boleh lompat dari satu keadaan ekonomi kepada yang lain tanpa melalui satu proses dan proses tersebut termasuk memperbetul segala gangguan atau kesempitan pengaliran “bottleneck” yang kritikal dalam ekonomi. Hanya melalui proses ini kita dapat mencapai dan mengubah Negara kearah pertumbuhan pendapatan tinggi.
102. Saya akan membuat komen selanjutnya apabila dibentang oleh kerajaan. Untuk sementara itu sekadar itu ingin saya sampaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan