UTUSAN ONLINE
PUTRAJAYA - Kerajaan menolak pendirian Majlis Peguam yang bertegas mahukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapus dan digantikan dengan satu akta baru.
Sebaliknya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu majlis itu meneliti terlebih dahulu butiran membabitkan pindaan yang bakal dilakukan ke atas akta tersebut.
''Saya kata daripada hendak mansuh dan bentang akta baru, lebih baik tengok apa yang kita cadangkan.
''Kalau ia dapat memenuhi kehendak mereka dengan pindaan ke atas akta sedia ada, jadi apalah isunya sangat,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan pertemuan awam mengenai cadangan pindaan ke atas ISA di sini hari ini.
Pertemuan tersebut melibatkan Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Majlis Peguam, Biro Tatanegara, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam dan Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO).
Dalam pertemuan itu, difahamkan Majlis Peguam tetap dengan pendiriannya mahu ISA dihapuskan dan satu akta baru dibentangkan di Parlimen.
Kementerian Dalam Negeri sebelum ini telah mengadakan lima sesi pertemuan awam melibatkan agensi-agensi penguat kuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar-pakar akademik, pengamal undang-undang, ahli-ahli politik, ahli-ahli Parlimen serta individu-individu.
Menurut Hishammuddin, pada pertemuan hari ini, semua pihak termasuk Majlis Peguam bersetuju bahawa undang-undang seperti ISA perlu wujud bagi melindungi keselamatan negara dan menangani masalah keganasan.
Bagaimanapun katanya, semua pihak bersetuju secara konsensus bahawa lima perkara yang sering menjadi pertikaian membabitkan ISA akan diteliti lebih terperinci.
Ini katanya, membabitkan soal tempoh tahanan, layanan ke atas tahanan dan nasib ahli keluarga mereka, kuasa menteri, persepsi tentang penyalahgunaan ISA bagi kepentingan politik dan penahanan tanpa bicara.
''Persepsi bahawa terdapat pola pertentangan sebenarnya tidak wujud kerana semua pihak cintakan keamanan dan di atas asas itulah kita meneliti pindaan ISA,'' kata beliau.
Dalam perkara berkaitan, Hishammuddin berkata, pihaknya yakin pindaan itu dapat dibentang sekurang-kurangnya bagi bacaan kali pertama pada sesi Parlimen kali ini yang bersidang hingga 15 Disember ini.
''Kita dah tengok draf pindaan yang sedia ada dan berdasarkan pandangan yang dikeluarkan pihak-pihak berkenaan, ia sudah menjurus atau mungkin lebih dekat dengan perjuangan masing-masing,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan