HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Oktober 2009

700 anak luar nikah di Kelantan

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Seramai 700 anak luar nikah atau tidak sah taraf didaftarkan di Kelantan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar.

Beliau berkata, keadaan tersebut membimbangkan dan kerajaan negeri telah mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut kerana pihaknya percaya masih ramai lagi anak luar nikah yang tidak didaftarkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui seminar, forum dan ceramah sentiasa menekankan kepada ibu bapa dan keluarga kepentingan pendidikan anak-anak dan bahaya gejala sosial di sekeliling mereka.

''Menerusi kursus bina insan dan kecemerlangan solat yang dianjurkan, kerajaan berharap para remaja dapat menjaga maruah diri masing-masing.

''Pengaruh dari kawan, cakera padat video (VCD) lucah, media amat kuat lebih-lebih lagi capaian kepada Internet yang semakin mudah menyebabkan kita sukar menyekat perkara yang tidak elok sampai kepada remaja.

''Namun demikian kita sentiasa berusaha dan bekerjasama dengan NGO dan agensi kerajaan untuk mengatasi masalah ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Wan Ubaidah berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan masalah anak luar nikah di negeri ini adalah yang terendah berbanding negeri lain tetapi kerajaan negeri tetap memandang serius dan merancang untuk membina sebuah pusat pelindungan sementara bagi golongan terbabit.

Katanya, buat masa kini tidak ada tempat perlindungan dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terpaksa menghantar mereka ke pusat pelindungan kendalian jabatan itu di Perak.

''Kita belum ada rumah khusus untuk remaja perempuan yang terlanjur. Yang sudah ada adalah rumah Raudhatul Sakinah yang diuruskan pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO). Jadi pusat yang akan kita bina nanti ini adalah yang pertama disediakan kerajaan negeri.

''Rumah yang akan dibina di Bechah, Ketereh itu dijangka dapat melindungi sekurang-kurangnya 30 remaja yang mengandung anak luar nikah serta anak yang bakal dilahirkan mereka dan juga wanita yang didera suami.

''Sesiapa yang datang dan memohon perlindungan akan dibantu. Kalau boleh lagi kosong rumah ini lagi bagus, maknanya tidak ada masalah. Tetapi sekiranya seseorang wanita sudah tiada tempat untuk pergi dan hilang sokongan keluarga maka mereka boleh mendapat perlindungan di sini,'' katanya.

Jelasnya, setakat ini, penempatan perlindungan yang sudah disediakan JKM negeri adalah untuk wanita yang didera suami dan remaja nakal di Kemumin, Pengkalan Chepa.

Dalam masa yang sama, Wan Ubaidah meminta ibu bapa yang anak mereka sudah terlanjur agar tidak membiarkan anak mereka berseorangan menghadapi masalah akibat kesilapan yang dilakukan.

Sepatutnya keluarga mengambil tanggungjawab terhadap wanita dan anak-anak remaja yang terlanjur ini. Masa depan mereka masih panjang lagi, maafkanlah kesalahan mereka dan beri bimbingan.

''Jangan lepas tangan begitu sahaja sehingga anak terpaksa membuang bayi mereka. Sekurang-kurangnya cuba uruskan agar bayi itu mendapat keluarga angkat. Minta bantuan dengan kerajaan (Jabatan Kebajikan Masyarakat) kalau malu atau tidak tahu hendak buat macam mana,'' katanya.

Tiada ulasan: