HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Oktober 2009

Mangsa JE Sarawak saman sekolah kerana kecuaian

BERNAMA


KUCHING: Dalam apa yang dipercayai sebagai kes pertama seumpamanya di Sarawak, seorang kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun yang disahkan menghidap Japanese Encephalitis (JE) ketika tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan (Cina) Sungai Menyan di Serian pada 2006, telah memfailkan saman terhadap pihak berkuasa sekolah.

Brisbane Itang menyaman pihak sekolah dan guru besar kerana didakwa cuai serta melanggari kewajipan statutori mereka.

Dia turut menamakan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan, selain kerajaan negeri serta persekutuan sebagai defendan bersama dan menuntut kerugian lebih RM1 juta.

Memandangkan kanak-kanak itu masih di bawah umur, bapanya Itang Lang, 43, mengemukakan saman bagi pihaknya.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan menerusi peguam Shankar Ram, pihak berkuasa berkenaan didakwa gagal memaklumkan kepada ibu bapa pelajar yang tinggal di asrama sekolah itu, terletak berdekatan sebuah ladang babi, mengenai kemungkinan tercetus wabak JE yang membawa maut dan keperluan untuk mereka mendapatkan vaksin yang sewajarnya terhadap penyakit itu.

Akibat serangan virus itu, Brisbane, yang ketika itu berumur 10 tahun dan belajar di Tahun Empat, mengalami kerosakan otak dan kini hilang upaya kekal iaitu fizikal dan mental, dengan kecacatan neurologi yang serius.

Dia disahkan dijangkiti JE pada 28 September 2006 selepas dihantar ke Hospital Umum Sarawak di sini apabila menghidap demam panas, beberapa hari sebelum itu.

Tiada ulasan: