HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 November 2009

Amaran angin kencang, laut bergelora

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu) dan Tioman (Pahang dan Johor Timur) sehingga Sabtu ini.

Kenyataan jabatan itu di sini hari ini memberitahu, angin kencang bertiup pada kelajuan 60 kilometer (km) sejam (km/j) dan ombak setinggi 4.5 meter.

"Kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur pula terdedah kepada kenaikan paras air laut.

"Keadaan ini dijangka berterusan sehingga Sabtu ini," kata kenyataan itu.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora berbahaya kepada aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

"Ribut petir di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak Barat, Bunguran, Condore, Reef North dan Layang-layang dijangka berterusan sehingga esok (Khamis)," katanya.

Di perairan Langkawi, Kedah dan Pulau Pinang ribut, petir dijangka berterusan sehingga petang ini.

"Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 40 km/j dan laut bergelora dengan ombak setinggi 2.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil," tambah kenyataan itu.

Tiada ulasan: