HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 November 2009

Kroni: Siasat pelaksanaan program SPIES

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - UMNO Selangor mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud penyalahgunaan wang kerajaan negeri dalam pelaksanaan program Kerohanian, Fizikal, Intelektual, Emosi dan Sosial (SPIES).

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, desakan itu dibuat kerana dakwaan sedemikian adalah serius serta tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak disebabkan ia melibatkan wang rakyat.

Jelasnya, sekiranya amalan sedemikian berlaku, ia menggambarkan bahawa kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas menyalahgunakan peruntukan kerajaan negeri untuk mencapai kepentingan peribadi atau politik mereka.

"Dakwaan ini adalah berat dan satu siasatan perlu dilakukan oleh pihak yang berkenaan. Sekiranya benar tindakan tegas perlu dilakukan.

"Kita tidak mahu wujud amalan sedemikian (salah guna wang rakyat) di Selangor dengan menggunakan program kerajaan sebagai medium pengantaraan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan yang disiarkan menerusi laman blog http://mykmu.net yang mendakwa program SPIES bakal menguntungkan beberapa penceramah motivasi yang rapat dengan pemimpin pakatan pembangkang di negeri itu.

Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang mahu kerajaan negeri mendedahkan kandungan program SPIES yang diperkenalkan pada Jun lalu sekiranya benar ia tidak menyebarkan fahaman politik pembangkang serta membenci Kerajaan Pusat.

Katanya, adalah tidak adil kerajaan negeri mengharamkan pelaksanaan kursus Biro Tata Negara (BTN) dengan mendakwa ia proses doktrinisasi Barisan Nasional (BN) dan supaya membenci pembangkang.

"Kalau benar SPIES bukan proses doktrinisasi pembangkang dan menyemai kebencian terhadap Kerajaan Persekutuan, saya fikir kerajaan negeri dedahkan kandungan dalam program berkenaan selain menyeSnaraikan penceramah motivasi yang dilantik.

"Jangan jadi seperti perumpamaan Melayu, 'kata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih' nanti," ujarnya.

Tiada ulasan: