UTUSAN ONLINE
PUTRAJAYA - Masalah penduduk yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri di Sarawak akan diselesaikan selewat-lewatnya pada penghujung 2011.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, masalah warganegara yang tidak mempunyai kad pengenalan pula akan diselesaikan setahun lebih awal iaitu hujung tahun depan.
''Tempoh ini ditetapkan untuk membolehkan pelbagai proses seperti pendaftaran permohonan dan semakan taraf kerakyatan dijalankan.
''Satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelaing Anak Mersat telah ditubuhkan untuk menyelaras urusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Imigresen di Sarawak," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Hishammuddin hari ini mendengar taklimat berhubung isu-isu pendaftaran yang berbangkit di Sarawak.
Beliau berkata, penduduk tanpa dokumen pengenalan diri di Sarawak meliputi penduduk tempatan yang tidak membuat pendaftaran serta warga asing yang menetap di Sarawak.
''Antara punca yang menyebabkan penduduk tempatan tidak memohon dokumen pengenalan diri ialah kesukaran pegawai JPN sampai ke tempat tinggal mereka kerana kekurangan jaringan pengangkutan.
''Faktor kemiskinan juga menyebabkan penduduk berkenaan sukar untuk membuat permohonan dengan JPN," katanya.
Tambahnya, masalah keluarga dan sikap penduduk juga merupakan punca kepada masalah tersebut.
''Terdapat penduduk yang tidak mengambil berat tentang urusan pendaftaran, ia juga berlaku kerana masalah anak luar nikah, anak angkat dan penceraian," katanya.
Hishammuddin berkata, beliau akan turun padang ke Sarawak pada 8 hingga 10 Disember ini untuk melihat proses pelaksanaan kerja di cawangan-cawangan JPN di negeri itu.
''Ini bertujuan memastikan segala yang dirancang dan diputuskan dapat dijalankan secara berkesan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan