Isu sengaja dicetus pembangkang bagi alih fokus masyarakat
Oleh Sazarina Shahrim, Hanneeyzah Bariah Baharin, S Anand Kumar dan Zanariah Abd Muttalib
KUALA TERENGGANU: Kerajaan bersedia mendedahkan kepada umum silibus dan modul kursus Biro Tata Negara (BTN) yang didakwa pembangkang sebagai 'sesi membasuh otak' yang sengaja diada-adakan Barisan Nasional (BN) untuk memupuk semangat perkauman di kalangan peserta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerajaan tiada masalah berbuat demikian kerana pengisian program itu sejak mula ia diadakan pada 1974 bertujuan memupuk semangat patriotisme, menyemai perpaduan kaum dan cintakan negara tanpa mengira bangsa dan agama.
"Kita tidak ada masalah dedahkan pengisian BTN sebab dari dulu lagi kita nakpastikan rakyat faham bahawa tidak boleh membangunkan negara sekiranya kita tidak bersatu padu, tidak boleh lahirkan pemimpin masa depan sekiranya tiada sikap dan sifat sayangkan tanah air serta semangat patriotisme.
"Jika dilihat secara rasional, BTN adalah kaedah cukup baik. PLKN (Program Latihan Khidmat Negara) dulu pun jadi isu juga, tetapi sekarang apabila tidak digembar-gemburkan, (ia) berjalan macam biasa," katanya selepas majlis korban sempena Aidiladha di Masjid Tok Jembal, di sini semalam.
Sambil mempertikaikan pihak pembangkang yang mengaitkan BTN sebagai agenda politik BN, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno, berkata ia antara usaha pembangkang untuk mengalih perhatian rakyat terhadap masalah dalaman mereka selain menenggelamkan khidmat BN yang mendahulukan kepentingan rakyat.
"Saya tak faham (mengapa isu BTN dibangkitkan) kerana BTN wujud sudah lama. Kenapa sekarang baru nak timbulkan isu. Saya rasa mereka ketandusan isu, nak mengalih pandangan daripada masalah dalaman mereka.
"Mereka mungkin bimbang BTN dapat menekankan perkara cukup penting kepada rakyat dalam usaha membina negara bangsa melalui konsep satu Malaysia.
"Pembangkang bimbang dengan gerakan dan pengisian yang dibawa oleh pelbagai agensi pemerintah termasuklah BTN. Kita sudah faham sangat cara mereka berpolitik. Jadi saya nasihatkan semua pihak, jalan seperti biasa, pegang perkara asas tadi kerana apa yang benar tetap benar," katanya.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata silibus kursus BTN wajar didedahkan kepada umum kerana kandungannya dibuat khusus untuk membentuk jati diri rakyat menjadi warga negara yang baik.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong pula berkata, modul kursus BTN perlu diteliti semula dan memastikan ia menyemai semangat dan nilai positif yang boleh menjamin kesejahteraan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan