HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 November 2009

Pemimpin Pas patut dedah, siasat siapa 'Kolonel Mat'

Nik Aziz dakwa wujud dalang jatuhkan beliau, Pas Kelantan

Oleh Sazarina Shahrim dan Wan Faizal Ismayatim


KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak dalam Pas tertanya-tanya siapa 'Kolonel Mat' yang dimaksudkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai dalang utama merancang untuk menjatuhkannya dan kerajaan Pas Kelantan.

Gelaran yang diberikan Nik Aziz dalam ucapannya pada majlis memperingati Hari Wukuf di Kota Bharu, kelmarin menjadi persoalan sama ada watak 'Kolonel Mat' adalah individu dalam parti itu sendiri atau orang luar.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hassan mengakui beliau turut tertanya-tanya siapa 'Kolonel Mat'.

Bagaimanapun, Dewan Pemuda Pas mahu kepemimpinan tertinggi parti memandang serius dakwaan Nik Aziz.

"Oleh kerana dakwaan itu datangnya dari mulut Tok Guru sendiri, sudah tentu ada sesuatu yang perlu disiasat," katanya.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah juga tidak pernah mendengar mengenai 'Kolonel Mat' dan terkejut dengan kenyataan Nik Aziz.

"Saya tak tahu, semalam (kelmarin) baru saya dengar... saya pun terkejut tetapi tak sempat nak bertanya kepada Tok Guru," katanya.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, yang menunaikan haji di Makkah, juga mengakui tidak pernah mendengar nama 'Kolonel Mat'.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim, enggan mengulas kerana ingin mendapatkan penjelasan daripada Nik Aziz terlebih dulu.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa tidak mahu memberikan sebarang komen.

Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Haron, pula berkata Nik Aziz tidak perlu mendedahkan siapa 'Kolonel Mat' jika individu itu dari kalangan pemimpin Pas sendiri.

"Nak dedah atau tidak, terpulang kepada tok guru (Nik Aziz)... kalau ada (Kolonel Mat), kena selesaikanlah. Kalau (didalangi) orang dalam, kita selesaikan secara dalaman, kalau orang parti (Pas) tak perlu dedahkan," katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin 'Kolonel Mat' tidak wujud, sebaliknya ia sekadar kata-kata kiasan atau gurauan Nik Aziz.

Sementara itu, Nik Aziz yang ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di sini, semalam, masih mempertahankan kenyataannya 'Kolonel Mat' berusaha menjatuhkan beliau dan Pas di Kelantan.

Beliau mendakwa, konspirasi untuk menjatuhkan Pas di Kelantan termasuk beliau bukan perkara baru dan usaha itu akan terus dilakukan.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan siapa dimaksudkannya sebagai 'Kolonel Mat' dan sama ada dia orang dalam parti atau pihak luar.

"Itu dia punya pasallah (Kolonel Mat bekerja untuk siapa), tetapi orang buat khianat pada Kelantan termasuk orang yang saya sebut ini (Kolonel Mat) barang sahih," katanya.

Tiada ulasan: