Oleh Nasir Abd Wahab dan Tuan Nazuri Tuan Ismail
SHAH ALAM: Sepuluh Pegawai Khas dan Setiausaha Politik Exco kerajaan negeri serta Ahli Undangan Negeri (Adun) di Selangor disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan peruntukan tahunan.
Presiden Pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Selangor (SELPROA), Abdul Razak Ismail, berkata jumlah yang disiasat itu tidak termasuk pegawai di pejabat daerah yang terbabit memproses permohonan tuntutan peruntukan.
Beliau berkata, Pegawai Khas dan Pembantu kepada Exco kerajaan negeri serta Adun itu dijadikan kambing hitam oleh SPRM bagi mencari kesalahan dilakukan Exco dan Adun berkenaan.
"SPRM lebih berniat jahat atau 'mala fide' ketika menjalankan tugas. Pegawai Khas dijadikan kambing hitam dalam proses mereka mengambil tindakan terhadap Exco dan Adun di negeri ini," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Abdul Razak yang juga Pegawai Khas kepada Exco kerajaan negeri, Dr Xavier Jayakumar, berkata SELPROA juga mendesak Peguam Negara menarik balik permohonan pembatalan pekeliling Menteri Besar serta merta untuk menjamin keselamatan dan hak Setiausaha Politik.
Di MELAKA: Siasatan SPRM terhadap menantu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung dakwaan salah guna kuasa ketika menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), kini 90 peratus siap.
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull, berkata pada masa ini pihaknya sedang mengumpulkan semua dokumen berkaitan untuk melengkapkan sepenuhnya siasatan membabitkan Abdul Ariffahmi Abdul Rahman itu, sebelum diserahkan kepada pendakwa raya bagi tindakan lanjut.
“Setakat ini, 90 peratus siasatan atas kes berkenaan sudah siap dan kita sedang mengumpul dokumen berkaitan untuk diserahkan kepada pendakwa raya,” katanya selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM siri 1/2009 di Tanjung Bidara Beach Resort, dekat sini, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan