HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 November 2009

Selangor perluas program SPIES ganti Biro Tata Negara

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Selangor akan memperluaskan program Kerohanian, Fizikal, Intelektual, Emosi dan Sosial (SPIES) sebagai pengganti kursus Biro Tata Negara (BTN) yang diharamkan oleh kerajaan negeri itu Rabu lalu.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, program yang telah diperkenalkan pada Jun lalu itu sudah dilaksanakan di kalangan pelajar, kakitangan awam dan anak syarikat negeri itu.

Katanya, program tersebut diadakan untuk menyebarkan pelbagai aktiviti yang berhubung kait dengan pembangunan modal insan di negeri itu.

"Kita (kerajaan negeri) telah melaksanakan program SPIES kepada kakitangan kerajaan negeri, anak syarikat serta mahasiswa di Selangor.

"Kerajaan negeri telah keluarkan arahan tidak benarkan kursus BTN dilaksanakan. Maka, kita akan perluaskan lagi program SPIES ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan melaksanakan program SPIES bagi menggantikan kursus BTN yang diharamkan oleh kerajaan negeri atas dakwaan bimbang dengan pengaruh Barisan Nasional (BN).

Arahan pengharaman BTN yang diumumkan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali pada 25 November lalu berikutan tuduhan BTN kononnya sebagai alat doktrinisasi BN yang menanam sentimen perkauman, memecahbelahkan rakyat termasuklah membenci pembangkang.

Bagaimanapun, program SPIES tidak terlepas daripada dikaitkan dengan kepentingan peribadi apabila sebuah laman blog, http://mykmu.net menyiarkan laporan bahawa ia bakal menguntungkan beberapa penceramah motivasi yang rapat dengan pemimpin pakatan pembangkang di negeri itu.

Laporan itu mengaitkan individu yang bakal menerima keuntungan tersebut termasuk penulis ucapan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selain mengatakan kerajaan negeri memberi peruntukan besar kepada program tersebut.

Nik Nazmi ketika ditanya mengenai dakwaan program SPIES itu digunakan sebagai alat Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas menyebarkan ideologi politik pembangkang serta membenci Kerajaan Pusat di kalangan rakyat di negeri itu berkata, dakwaan tersebut tidak benar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia memberitahu, kandungan program SPIES tidak melibatkan ideologi pembangkang.

"Tidak ada penyebaran ideologi tetapi yang ada pendekatan kerohanian, fizikal, intelektual, emosi dan sosial," ujarnya.

Tiada ulasan: