HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 November 2009

BTN: Sharizat dinasihat tumpu selesaikan isu feminisme

Oleh: Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR : Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh menasihatkan Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil agar segera menyelesaikan isu-isu feminisme berbangkit berkaitan kementeriannya sebelum ini.

Baginya, Sharizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak perlu terlalu asyik memperkatakan isu keputusan kerajaan Selangor melarang Biro Tata Negara (BTN) dari mengakses mahasiswa, kakitangan awam dan pekerja sokongan kerajaan itu.

“Saya rasa banyak isu feminisme seperti kes rogol juvana kaum minoriti Penan dibangkitkan (oleh) MP-MP (Ahli-Ahli Parlimen) Wanita PAS (dan) Pakatan Rakyat, tetapi beliau (Shahrizat) tak selesaikan,” jelas Nuridah ketika dihubungi semalam.

Beliau juga menasihatkan Sharizat menangani beberapa isu kezaliman berkaitan pembantu rumah wanita Islam-Indonesia belakangan ini.

“Sebenarnya banyak lagi isu berkaitan wanita kalau nak sebut…(seperti) isu penderaan pembantu rumah Indonesia yang beragama Islam umpamanya, dinafikan hak beramal dengan agamanya,” jelasnya.

“Sampai sekarang saya lihat tidak ada suatu polisi yang jelas untuk lindungi hak-hak mereka (pembantu rumah Indonesia)…yang kita lihat ada saja kes-kes penderaan.”

Dalam isu berkaitan, beliau bersetuju dengan pendirian Dr. Halimah Ali mencadangkan Kerajaan Selangor menghentikan serta-merta kursus BTN ke atas penjawat awam negeri itu.

"Saya setuju dengan Dr. Halimah, Adun Selat Kelang (berhubung) BTN berperanan seolah-olah agensi propaganda perkauman Umno, memburuk-burukkan pembangkang khususnya PAS dengan dakyah perkauman Melayu yang ekstrem,” ujarnya.

“Ianya dikatakan lebih mengutamakan agenda sempit kepartian Umno…(Kerajaan) Selangor ada bukti berdasarkan respon dan keluhan peserta yang ikut serta kursus ketatanegaraan BTN.”

Semalam, Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno berkata, BTN menerapkan semangat patriotisme selari dengan konsep 1Malaysia, bukanlah seperti yang didakwa pembangkang.

Rabu lepas, kerajaan Selangor mengeluarkan arahan serta-merta menglarang BTN menganjurkan program di Selangor kerana mendakwa badan itu melaksanakan indoktrinisasi yang salah.

Tiada ulasan: