HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 November 2009

Bakal pengantin dituduh merogol, samun wanita

Oleh Amin Ridzuan Ishak


BUTTERWORTH: Seorang lelaki yang bakal melangsungkan perkahwinannya Disember ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol dan enam tuduhan menyamun wanita tempatan dan warga asing di Seberang Prai Tengah (SPT) dari Julai hingga September lalu.

Bagi dakwaan merogol, Lee Chun Yong, 25, dari Bagan Lalang di sini, dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 8 malam pada 20 September lalu di dalam sebuah kereta di SPT.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan.

Bagi tuduhan menyamun, Lee juga didakwa melakukan kesalahan itu ke atas wanita yang dirogolnya dengan mengugut menggunakan sebatang besi.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan itu ke atas seorang wanita pada jam 5 petang, 14 Julai lalu di Taman Nagasari, Bukit Mertajam dengan melarikan telefon bimbit dan cincin bernilai RM375.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan sama ke atas seorang wanita lain di belakang kilang di Taman Nagasari pada 20 September dengan melarikan telefon bimbit dan wang tunai RM40 selepas mengugut dengan pisau dan besi.

Bagi pertuduhan keempat, kelima dan keenam, Lee didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 September lalu antara jam 6 petang hingga 6.40 petang di Taman Arowana, Permatang Pauh dengan melarikan telefon bimbit, wang tunai dan barangan kemas milik tiga wanita.

Lee didakwa mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan atas kesemua tuduhan samun dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan didenda atau sebatan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Tiada ulasan: