HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 November 2009

Kabinet bincang keputusan mahkamah

Oleh ARSHAD KHAN


Muhyiddin Yassin menyatakan sesuatu dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan selepas mempengerusikan mesyuarat MTMD di Bangunan Parlimen, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Kabinet akan membincangkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menetapkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya boleh melakukan soal siasat pada waktu pejabat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu dicadang untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pulang daripada menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Trinidad dan Tobago.

Katanya, pandangan kerajaan berhubung keputusan mengehadkan masa soal siasat SPRM hanya akan dikupas dalam mesyuarat berkenaan.

Beliau menegaskan, perkara itu tidak akan dibincangkan secara terbuka kerana ia melibatkan keputusan yang dibuat oleh mahkamah.

"Saya tidak mahu berikan komen walaupun ada banyak pihak berikan pandangan yang pro dan kontra kerana ini ada hubung kait dengan keputusan mahkamah.

"Kita tidak mahu dilihat tidak menghormati mahkamah, pandangan kerajaan akan kita kupas dalam Kabinet," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Kebangsaan di Parlimen di sini hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Mohamad Ariff Md. Yusof di sini baru-baru ini menetapkan SPRM tidak boleh menyiasat saksi di luar waktu pejabat seperti diamalkan sebelum ini.

Menurut hakim itu, peruntukan menyoal siasat saksi 'sehari-ke-sehari' seperti tertera dalam Seksyen 30(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 tidak bermakna SPRM boleh melakukannya secara berterusan selama 24 jam.

Tiada ulasan: