HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 November 2009

Kaukus royalti: BN tidak sepatutnya menekan Tengku Razaleigh

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR : Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yakin Tengku Razaleigh Hamzah akan mengutamakan prinsip berpegang kepada kebenaran untuk mengetuai kaukus ahli-ahli parlimen berkaitan royalti petroleum.

"Kaukus itu bersifat non-partisan di mana ia menghimpun Ahli-Ahli Parlimen tanpa mengira parti atau negeri. Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak juga dijemput.

"Dengan semangat dan sifat sedemikian, saya yakin Tengku Razaleigh akan mengetuainya kerana perjuangan kaukus itu ialah untuk memastikan kehendak Perlembagaan dan undang-undang terutama Akta Petroleum dilaksanakan," katanya.

Salahuddin menyifatkan gesaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Tengku Razaleigh Hamzah meneliti semasak-masaknya sebelum bersetuju mengetuai kaukus itu sebagai tindakan yang membelakangi tamadun dan kehendak undang-undang.

"Saya berharap Muhyiddin tidak membawa pemikiran zaman batu yang primitif sehingga tidak boleh berkerjasama untuk kepentingan rakyat dan demi melaksanakan kehendak undang-undang.

"Kita pun tahu bahawa Tengku Razaleigh adalah Ahli Parlimen yang mewakili Barisan Nasional (BN), tetapi jika PAS dan Umno boleh bersama-sama memperjuangkan hak rakyat Palestin di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dahulu, mengapa pula tidak boleh berkerjasama demi kepentingan rakyat Kelantan dan rakyat negeri-negeri lain yang berhak di sini undang-undang untuk mendapat bayaran tunai royalti minyak sedangkan mereka adalah rakyat negara ini," tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Menurut beliau, Tengku Razaleigh juga dijemput mengetuai kaukus itu atas sifatnya sebagai negarawan dan orang yang terlibat sejak dari awal lagi dalam isu royalti.

"Adalah tidak matang bagi BN mengenakan tekanan kepada Tengku Razaleigh dan menghalang kerjasama anggota badan legislatif negara tanpa mengira parti untuk memperjuangkan kepentingan rakyat," katanya.

Minggu lalu, Tengku Razaleigh mengulangi penegasannya sebelum ini bahawa Kelantan berhak mendapat royalti minyak.

Bekas Menteri Kewangan itu terlibat mendrafkan Akta Petroleum yang memberi jaminan bayaran tunai royalti minyak sebanyak lima peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak.

Pengerusi Petronas yang pertama itu juga menegaskan bahawa Kelantan berhak di sisi perlembagaan untuk menerima royalti minyak itu.

Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Tengku Razaleigh bersetuju untuk menimbangkan pelawaan untuk mengetuai kaukus ahli-ahli parlimen berkaitan royalti petroleum itu.

Hari ini, Muhyiddin membayangkan rasa tidak senangnya dengan tindakan Tengku Razaleigh itu.

Beliau berkata, pada dasarnya BN tidak terlibat dengan perkara-perkara sedemikian kerana terikat dengan prinsip parti.

"Eloklah Tengku Razaleigh teliti semasak-masaknya walaupun ia melibatkan negeri Kelantan tetapi ini ditaja oleh pihak parti pembangkang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang nak
mengusahakannya.

"Jadi, kalau atas dasar yang biasa, biasanya kita tidak fikir sesuai tetapi saya percaya Tengku Razaleigh faham tentang itu dan kita serah kepada kebijaksanaan beliau untuk teliti sebelum buat keputusan muktamad.

"Saya fikir beliau orang lama dalam parti, dia tahulah keputusan apa yang dia nak buat," katanya.

Tiada ulasan: