KUALA TERENGGANU - Penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat, Lim Kit Siang telah mempersoalkan, siapakah antara dua yang berbohong tentang hak mendapat bayaran wang royalti petroleum, adakah ayah atau anak?
Beliau berkata demikian di Parlimen baru-baru ini ketika membahaskan Bajet 2010 pada peringkat jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri. Katanya pada 3 November lalu, ketika sesi menjawab soalan, Dato’ Seri Najib Razak berkata kepada Parlimen bahawa daripada aspek undang-undang, Kelantan dan Terengganu tidak berhak atas royalti minyak kerana pengeluaran minyak dilakukan di luar pantai kedua-dua negeri itu.
"Operasi pengeluaran dalam perairan mereka (Terengganu dan Kelantan) di definasikan sebagai kawasan tidak lebih tiga batu nautika yang diukur mulai dari tanda air rendah atau garis pantai negeri,
"ketika ini, tidak ada pengeluaran minyak di perairan Kelantan ataupun Terengganu. Oleh itu, dari sudut undang-undang, Kelantan tidak mempunyai hak untuk menuntut royalti minyak, sama seperti Terengganu ,"kata Najib.
Menurut Lim Kit Siang, jawapan Najib jelas bertentangan dengan jawapan yang diberikan oleh ayahnya, Tun Razak ketika beliau menjawab soalan beliau (Lim) sebagai Perdana Menteri kedua di Parlimen tentang isu yang sama pada tahun 1975, 24 tahun yang lalu.
Justeru dipaparkan Soal Jawab dari Hansard Parlimen pada 12 November, 1975:
Tuan Lim Kit Siang minta Perdana Menteri menyatakan samada semua negeri di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah telah menandatangani perjanjian dengan Petronas untuk mencarigali minyak di sepanjang pantai dan samada perjanjian tersebut mengandungi apa-apa syarat dan kepentingan bersama. Nyatakan juga keuntungan bersama yang akan diterima oleh tiap-tiap negeri.
Perdana Menteri (Tun Razak): Tuan Yang di-Pertua, semua negeri di Malaysia, melainkan Sabah dan Selangor, telah menandatangani perjanjian dengan Petronas sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petrolium, 1974. Saya diberitahu Kerajaan Negeri Selangor pun telah bersetuju menandatangani perjanjian ini. Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petrolium yang dijumpai dan diperolehi di negeri masing-masing samada yang diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh Petronas ataupun ejensi-ejensi ataupun konraktor-kontraktornya.
Oleh yang demikian, beliau meminta Najib (anak) yang juga Perdana Menteri keenam untuk menjaga komitmen ayahnya, Tun Razak.
Katanya, ayah Najib (Tun Razak) yang juga kedua Perdana Menteri Kedua menyatakan Kelantan dan Terengganu adalah berhak keatas bayaran 5% royalti minyak bagi aktiviti pengeluaran minyak "samada di darat atau di luar pantai", sebagaimana termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974,
Lim berkata lagi, salah seorang arkitek Akta tersebut adalah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang telah bercakap benar di atas hak-hak perundangan Kelantan dan Terengganu keatas 5% royalti minyak yang dihasilkan di luar pantai dan bukan sebagai "wang Ihsan".
“Jika tidak, slogan 1Malaysia Najib hanya akan menjadi bahan jenaka, jika hak-hak perundangan dan status negeri-negeri keatas bayaran royalty petroleum terus dipolitikkan,
”dan bergantung samada adakah UMNO / Barisan Nasional yang berkuasa, sebagaimana yang terjadi kepada Terengganu dan Kelantan,”katanya dalam satu kenyataan melalui laman blognya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan