HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 November 2009

Doa bukan kali pertama

Oleh Azmi Md Deros, Mohd Roji Abdullah, Norliza Wasilan dan Khairunnisa Kamarudin


KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno mengecam tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendoakan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga Umno musnah hanya disebabkan isu royalti minyak, sebagai tindakan untuk menimbulkan kontroversi.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Nik Aziz bukan pertama kali mendoakan seseorang sedemikian malah Mursyidul Am Pas itu juga tidak asing membuat pelbagai kenyataan kontroversi.

"Bukan pertama kali Nik Aziz berdoa demikian, sebab itu di Permatang Pasir dan di Port Dickson, beliau pun (ada) berdoa supaya jahanamlah Menteri Pertahanan dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), (malah doa untuk) saya ada dalam (juga terdapat dalam) Youtube.

"Beliau berdoa supaya kami berdua jahanam dan dianggap orang yang paling jahat ialah Perdana Menteri dan Menteri Pertahanannya... saya tak tahulah apa nyanyuknya (Nik Aziz mendoakan seperti itu), dan ini sekali lagi beliau (Nik Aziz) kata begitu," katanya selepas berucap pada Persidangan Antarabangsa Maritim.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tindakan Nik Aziz yang menimbulkan pelbagai kontroversi tanpa memperincikan sesuatu isu adalah semata-mata ingin mengalih pandangan umum terhadap masalah perpecahan Pas yang kini semakin kritikal.

"Saya percaya apa yang diluahkan Nik Aziz kebelakangan ini, menunjukkan masalah perpecahan dalam Pas begitu kritikal dan beliau sedaya upaya mahu mengalih perhatian umum (dengan membuat pelbagai kenyataan) tetapi akhirnya ia menimbulkan kontroversi kerana tidak dibuat dengan teliti.

"Kita dalam Umno bukannya mendoakan perpecahan Pas, tetapi apa yang berlaku sekarang ialah kesan daripada perbuatan mereka sendiri yang sering melemparkan pelbagai tuduhan kepada kita selama ini dan saya percaya semua tuduhan itu kini sudah memakan diri," katanya.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menyifatkan hasrat Nik Aziz itu agak keterlaluan, apatah lagi sebagai tokoh agama beliau sepatutnya tahu adab berdoa dan apa yang sepatutnya dipohon kepada Allah iaitu kesejahteraan dan kebaikan.

"Alangkan kepada bukan Islam pun kita doakan yang baik untuk mereka, termasuk diberi taufik dan hidayah. Inikan pula kepada saudara seagama.

"Sebagai orang Islam sepatutnya kita mendoakan yang baik untuk saudara seagama kita. Kenyataan itu tidak patut dikeluarkan oleh seorang yang bergelar Tok Guru," katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Mukhriz Mahathir, berkata Nik Aziz sepatutnya memikirkan cara untuk menyatupadukan bangsa Melayu serta matlamat partinya daripada mendoakan kemusnahan kepemimpinan.

“Saya sendiri tidak pernah mendoakan kemusnahan kepimpinan dan parti lain sebaliknya sentiasa mengharapkan Umno dan Pas dapat duduk semeja untuk berbincang mengenai cara menyatupadukan bangsa Melayu di negara ini.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, tindakan Nik Aziz itu adalah senjata terakhir yang boleh dilakukan untuk menuntut royalti minyak daripada Kerajaan Pusat yang didakwanya hak negeri itu.

“Apa yang boleh dibuat lagi...seluruh saluran telah kita gunakan termasuk rundingan dan debat di Parlimen tetapi kerajaan tetap kata Kelantan tidak ada hak.

“Kita bukan minta sesuatu yang di luar Perlembagaan. Kita cuma minta hak kita dan kalau tak nak kita baca doa seperti itu, kembalikanlah hak rakyat Kelantan,” katanya ketika dihubungi. Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan hasrat Nik Aziz untuk berdoa sebagai amaran kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat supaya tidak terus membuat tindakan yang didakwanya menindas rakyat Kelantan.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, tindakan Nik Aziz yang menyebut nama di dalam doanya adalah tidak bercanggah dengan sunnah Rasulullah kerana baginda pernah menyebut nama mereka yang menentang dan menzalimi baginda dan umat Islam di dalam doanya.

Tiada ulasan: