BERITA HARIAN ONLINE
PEKAN: Lebih 600 waris pejuang Melayu zaman British - Tok Shahrom dari seluruh negara dipertemukan pada satu majlis di Dewan Konvensyen Pekan, di sini, kelmarin.
Majlis anjuran Persatuan Waris dan Keturunan Tok Shahrom - Tok Gajah - Mat Kilau (PWKTSTGMK) diadakan selepas pertemuan pertama pada 5 Januari tahun lalu di Jerantut Hill Resort yang berjaya menghimpunkan 200 waris keturunan pejuang Melayu itu.
Pengerusinya, Datuk Zulkifli Mohamad, berkata perhimpunan itu bertujuan menghimpun dan mewujudkan persefahaman di kalangan keturunan pejuang Melayu itu dan memperbetulkan sejarah yang didakwa ‘menyimpang’ daripada fakta sebenar.
“Generasi hari ini sering didedahkan dengan fakta yang menyatakan mereka adalah penentang dan pemberontak British tanpa mengetahui sejarah sebenar.
“Justeru, menerusi pertemuan seperti ini kami akan menerangkan erti sebenar perjuangan mereka dan mengapa mereka sanggup menentang pihak British ketika itu supaya waris kami terutama yang masih muda mendapat gambaran sebenar,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Berdasarkan fakta sejarah, Tok Shahrom atau Teuku Ali adalah putera raja dari daerah Bilah Paning, Sumatera Barat yang terletak kira-kira 150 batu dari Medan.
Beliau menukar nama kepada Tok Shahrom dan berkahwin dengan Siti Hajar (Tok Dinar) Sheikh Ali dan dikurniakan lima anak iaitu Ranting Mas, Maimunah, Khatib Rasu Abd Salam (Tok Gajah), Khatib Mohd Amin dan Khatib Mohd Meng.
Mohd atau Mat Kilau adalah anak Tok Gajah yang dilabel sebagai penderhaka oleh British dan mengasingkan diri dari orang ramai selama beberapa tahun kerana bersembunyi.
Bagaimanapun, Mat Kilau keluar daripada persembunyian dan mengisytiharkan dirinya yang sebenar di masjid Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut pada 26 Disember 1969.
Sementara itu, seorang ahli persatuan, Muhammad Rafiq Abdul Rahim, 24, berkata pertemuan itu memberi pengertian yang cukup bermakna buat dirinya walaupun sudah mengetahui asal usulnya sejak zaman kanak-kanak lagi.
"Ibu bapa saya dilahirkan dari keturunan Mat Kilau dan saya amat berbangga kerana memiliki darah pahlawan ini dan saya tidak malu mengaku sebagai waris pejuang Melayu yang digelar pengkhianat bangsa.
"Walaupun Inggeris menyifatkan nenek moyang kami sebagai pengkhianat kerana menentang campur tangan Inggeris di Tanah Melayu, mereka tetap wira di hati kami," katanya yang hadir bersama 30 ahli keluarga lain dari Kuala Lumpur.
Generasi Keempat dari keturunan Khatib Mohd Amin (anak keempat Tok Shahrom), Juriah Yusuf, 73, berkata walaupun terpaksa berkerusi roda, beliau tetap bersemangat untuk menghadiri pertemuan itu yang julung kali diadakan.
"Dalam keadaan yang semakin uzur saya tetap perkuatkan diri untuk menghadiri perjumpaan ini kerana saya ingin mengenali semua waris keturunan nenek moyang kami.
"Mungkin ada kalangan kami yang pernah bertemu tetapi tidak tahu daripada keturunan siapa, jadi secara tidak langsung pada majlis ini, kami dapat bermesra dan mengadakan pertemuan susulan selepas ini," katanya yang ditemani 20 ahli keluarga daripada Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan