HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 November 2009

SPRM perlu tegas banteras rasuah

Oleh Rodelio Junjun Taucan


JELI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertegas dan tidak melindungi ahli politik yang didapati terlibat dengan gejala rasuah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, jumlah kertas siasatan yang banyak dibuka menjadi bukti ketegasan kerajaan membendung rasuah.

“Kerajaan dari dulu lagi bertekad menghapuskan rasuah dan memastikan pesalah menerima hukuman setimpal dengan perbuatan keji mereka.

“Kerajaan tidak pernah melindungi sesiapa terutama wakil rakyat. Tidak kira dari parti yang memerintah atau pembangkang kerana jika terlibat rasuah, mereka akan didakwa,” tegas beliau.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada 149 pelajar dari kawasan Parlimen Jeli yang mencatat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009 di Kompleks Darul Falah, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan SPRM semalam menahan enam ahli UMNO dari Bahagian Kota Tinggi, Johor Bharu, yang didakwa terbabit dengan skandal rasuah berjumlah RM40,000.

Menurut Mustapa, ketegasan SPRM ini mampu memperbaiki imej negara pada masa depan selepas indeks rasuah meningkat beberapa tahun lepas.

“Kita harap SPRM terus memainkan peranan mereka kerana inilah cara kita membersihkan imej negara,” katanya lagi.

Mengenai keputusan UPSR di kawasan Jeli ujarnya, berlaku sedikit peningkatan namun ia masih belum boleh dibanggakan.

Jelasnya, masih ada beberapa sekolah di luar bandar yang gagal mencatat keputusan baik sehingga semua pelajarnya gagal mendapat A dalam mana-mana mata pelajaran.

“Inilah yang saya kata agenda belum selesai kerana masih ramai yang gagal malah ada sekolah yang langsung tidak ada A dalam semua mata pelajaran.

“Saya tidak akan membiarkan jurang antara pelajar luar bandar dengan di bandar terus besar terutama di Kelantan,” tambahnya.

Tiada ulasan: