Oleh Marzuki Yusoff
MEKAH – Tabung Haji akan membiayai kos penginapan dan makan-minum jemaah dari Malaysia yang terlewat pulang ke tanah air kerana perubahan jadual penerbangan.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijangka pulang dari tanah suci pada 3 Disember ini dan penerbangan terakhir pula ialah pada 1 Januari tahun depan.
Secara purata setiap jemaah akan berada di tanah suci termasuk melakukan ziarah di Madinah sempena musim haji ini adalah antara 40 hingga 45 hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mej. Jen. (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, agensi itu mengambil tanggungjawab itu bagi membantu masalah jemaah yang menghadapi kesulitan kewangan jika terpaksa tinggal lebih lama di tanah suci.
‘‘Kita memahami ada jemaah yang menghadapi masalah jika tinggal lebih lama terutama jika melibatkan perubahan jadual penerbangan yang tidak dapat dijangka,” katanya kepada para pemberita di Padang Arfah, sebelum bersama jemaah lain bergerak ke Muzdalifah, Mina dan Mekah, awal pagi ini.
Semalam, Jamil sendiri menyampaikan khutbah Hari Wukuf di maktab penginapan yang menempatkan para petugas haji di Padang Arfah iaitu menandakan bermulanya ibadat rukun di kawasan penting dalam menyempurnakan ibadat haji dan kegagalan berbuat demikian, ibadat haji seseorang tidak sah.
Beliau juga memberitahu setakat ini tiada kejadian tidak diingini berlaku melibatkan jemaah Malaysia yang berada di Padang Arfah kecuali hujan lebat yang berlaku lebih tiga jam sehingga keadaan agak kelam-kabut apabila tilam-tilam dalam khemah penginapan basah.
Menurut beliau, kejadian hujan itu amat jarang berlaku di Padang Arfah dan kejadian itu tentunya ada hikmah di sebaliknya.
‘‘Saya difahamkan pihak Masjidil Haram beberapa hari sebelum itu telah mengadakan solat hajat untuk memohon Tuhan menurunkan hujan. Para jemaah wajar bersyukur dengan hikmah di sebalik kedatangan hujan secara tiba-tiba itu kerana bagi penduduk Arab Saudi, hujan adalah satu nikmat yang amat mereka tunggu-tunggu,” katanya.
Sementara itu di Masjidil Haram di sini, jutaan jemaah haji menyertai solat sunat Aidiladha di Masjidil Haram di sini, hari ini pada ketika sebahagian besar lagi jemaah berhimpun di Mina untuk kerja-kerja melontar batu kecil di ketiga-tiga jamrah.
Tinjauan mendapati keadaan di sekitar kawasan Kaabah agak terkawal kerana sebahagian besar jemaah masih berada di Mina untuk melakukan salah satu ibadat wajib iaitu melontar di ketiga-tiga jamrah (simbolik melontar syaitan dengan batu kecil).
Bagaimanapun lewat malam tadi sehingga awal pagi, keadaan di Muzdalifah iaitu kawasan mengutip batu terlalu sesak dengan kehadiran jutaan jemaah yang tiba ke kawasan itu dengan beribu-ribu buah bas.
Ibadat haji akan berakhir pada 30 November ini, bagaimanapun, sebahagian besar jemaah termasuk sebahagian besar petugas Tabung Haji menyelesaikan ibadat itu sehari lebih awal iaitu sehari sebelumnya bagi membolehkan mereka menguruskan para jemaah.
Malaysia menghantar 26,000 jemaah pada musim haji tahun ini termasuk yang datang melalui 28 buah syarikat swasta yang bernaung di bawah Tabung Haji.
Pada perkembangan yang sama, Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa‘ari Mohamed Nor berkata, keadaan bersesak-sesak di khemah penginapan jemaah tidak dapat dielakkan kerana penyediaan khemah di Padang Arfah bergantung kepada pihak berkuasa Arab Saudi.
Menurut beliau, keadaan itu bukan saja melibatkan jemaah dari Malaysia tetapi juga jemaah dari negara-negara lain.
‘‘Kawasan di Padang Arfah semakin terhad dan kami harap para jemaah dapat bersabar dengan keadaan bersesak-sesak di dalam khemah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan