HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 November 2009

Isu perkahwinan sivil: Majlis Peguam bantah

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Majlis Peguam membantah cadangan yang membolehkan perkahwinan sivil seseorang mualaf dibubarkan secara automatik selepas tiga bulan disahkan sebagai Islam kerana dilihat tidak memberi keadilan kepada pasangan yang bukan Islam.

Sebaliknya badan itu mahu soal perkahwinan sivil yang terdahulu seorang mualaf diserahkan kepada kemahuannya sendiri sama ada mahu meneruskan perkahwinan itu atau memilih untuk bercerai dengan pasangannya yang bukan Islam.

Pada masa sama, Majlis Peguam turut menuntut supaya peruntukan undang-undang syariah menyatakan secara khusus sebarang isu berkaitan perkahwinan seorang mualaf yang terdahulu termasuk nafkah dan hak penjagaan anak hendaklah dirujuk kepada mahkamah sivil sahaja.

Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, selain itu enakmen syariah juga harus mencerminkan kehendak mengenai larangan mendaftar penukaran agama anak yang berusia di bawah 18 tahun seperti yang dicadangkan kerajaan.

Dalam hal itu katanya, agama seseorang anak patut kekal seperti sewaktu ibu dan bapa mereka melangsungkan perkahwinan sehingga anak tersebut membuat keputusan memilih sendiri agama yang mahu dianuti apabila mencecah usia 18 tahun.

''Walaupun perkara itu dicadangkan dimasukkan dalam pindaan Akta Memperbaharui Undang-Undang (LRA) (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 , peruntukan undang-undang syariah juga perlu bersekali menjelaskannya.

''Ini penting kerana cadangan pindaan LRA seperti yang diumumkan Jabatan Peguam Negara bagi mengatasi konflik antara syariah dan sivil adalah tidak mencukupi jika pindaan pada enakmen syariah tidak disertakan sekali,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas pindaan yang dicadangkan kepada LRA (Perkahwinan dan Perceraian) bagi mengatasi beberapa masalah perundangan khususnya yang melibatkan pasangan memeluk Islam.

Antara yang dicadangkan Jabatan Peguam Negara ialah memberikan hak kepada mualaf memfailkan pembubaran perkahwinan sivil terdahulu dan perkara kedua melarang ibu atau bapa atau penjaga daripada mendaftarkan penukaran agama anak di bawah 18 tahun tanpa mendapat izin pasangan mereka.

Mengenai pemberian hak kepada seorang mualaf memfailkan pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil yang sebelum ini tidak diberi, Ragunath berkata, Majlis Peguam mengalu-alukan cadangan itu.

Namun katanya, apa yang dibantah adalah peruntukan yang menyatakan perkahwinan terdahulu seorang mualaf akan dibubarkan secara automatik dalam tempoh tiga bulan selepas memeluk Islam.

''Majlis Peguam tidak menentang hak seseorang menukar agama, cuma kita tidak mahu ada yang menjadi mangsa dengan tindakan pasangan melarikan diri daripada tanggungjawab dengan cara menukar agama.

''Justeru kami harap sebelum cadangan ini dibentangkan di Parlimen, Jabatan Peguam Negara dapat berbincang dengan Majlis Peguam untuk mencari penyelesaian terbaik dalam hal ini,'' ujarnya.

Tiada ulasan: