Oleh Norakmah Mat Youb
GEORGETOWN: Kira-kira 45 peratus daripada 10,000 tan sisa pepejal yang dibuang setiap hari di tapak pembuangan sampah negara ini terdiri daripada makanan, sekali gus menunjukkan sikap suka membazir di kalangan penduduk.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S M Mohamad Idris, berkata antara penyumbang terbesar pembaziran itu ialah pengusaha hotel dan restoran.
Katanya, keadaan itu tidak dapat diterima kerana ia menjurus kepada pembaziran secara besar-besaran kerana kebanyakan makanan yang dibuang itu masih dalam keadaan elok.
“Makanan yang dibuang itu sepatutnya boleh diberikan kepada golongan miskin. Ketika tinjauan dilakukan, pengusaha hotel dan restoran memberitahu mereka lebih rela membuangnya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata, pembaziran makanan menjadi satu penyakit dalam masyarakat apabila kehidupan mereka menjadi lebih mewah dan ia semakin meningkat setiap tahun.
Mohamad berkata, tinjauan yang dijalankan CAP di 14 restoran dan beberapa hotel termasuk yang bertaraf lima bintang, selama dua hari di sekitar negeri ini, mendapati semua premis itu mencatatkan pembuangan makanan yang banyak.
Katanya, kerajaan sepatutnya melancarkan kempen anti pembaziran memandangkan makanan yang dibuang sepatutnya boleh digunakan untuk memberi makan kepada golongan miskin yang sering kekurangan wang untuk membeli makanan.
“Kempen itu seharusnya menggalakkan perancangan makanan secara lebih sempurna, menjimatkan makanan yang ditinggalkan.
Individu pula harus memesan secara bijak apabila makan di luar dan membawa beg kertas untuk membawa pulang lebihan makanan,” katanya.
Beliau berkata, makanan yang reput dan bahan sisa organik di kawasan pembuangan sampah menghasilkan gas metana dan ia 20 kali lebih berbahaya berbanding gas karbon dioksida dihasilkan rumah hijau.
Sehubungan itu, katanya, semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta perlu berganding bahu membuat perancangan teliti, bagi mengelak pembaziran dikalangan individu termasuk menguatkuasakan undang-undang untuk menghukum pihak hotel dan restoran yang mengamalkan pembuangan makanan secara besar-besaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan