HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 November 2009

Hangus menjelang Aidiladha

Oleh SAFINA RAMLI


ALOR SETAR - Ketika umat Islam bersiap-sedia menyambut Hari Raya Aidiladha esok, seorang ibu tunggal bersama tiga anaknya tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka di Kampung Gonchar di sini hangus dijilat api.

Lebih menyedihkan semua barang persiapan termasuk pakaian raya turut terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu.

Harisun Che Kassim, 51, berkata, ketika kejadian, tiada sesiapa di dalam rumah kerana dua anaknya keluar bekerja manakala seorang lagi mengikutnya ke pasar tani di Gunung Keriang, kira-kira pukul 9 pagi.

Katanya, namun semasa perjalanan pulang, dia mendapat tahu daripada seorang jiran bahawa rumahnya terbakar.

"Hancur hati saya bila melihat api marak membakar rumah saya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, dia dan anak-anaknya, Hafizuddin Hussin, 19, Hazwani Hussin, 18, dan Amirul Hakim Din, 8, kini tinggal sehelai sepinggang kerana tiada apa dapat diselamatkan.

Menurut Harisun, kejadian malang itu adalah kali kedua dia ditimpa bencana setelah rumahnya dinaiki air hingga ke paras lutut minggu lalu.

Katanya, ekoran itu, mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke pusat penempatan banjir di Sekolah Kebangsaan Gunung di sini.

"Saya baru sahaja balik ke rumah Khamis lalu dan langsung tidak menyangka rumah pula yang akan terbakar pagi ini.

"Saya tiada pekerjaan dan bergantung hidup dengan bantuan sebanyak RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat," ujarnya.

Katanya, dia sedih kerana tidak sempat menyelamatkan barang-barang kenangan seperti gambar anak-anak sewaktu kecil.

"Tiada apa lagi yang tinggal bagi saya tetapi saya reda dengan dugaan ditentukan Allah.

"Buat sementara, saya akan menumpang di rumah kakak dan sambutan Hari Raya Aidiladha ini benar-benar menguji kami," katanya.

Sementara itu, Amirul Hakim yang masih terkejut dengan kebakaran tersebut berkata, dia terkilan kerana baju raya berwarna kuning kesayangannya turut terbakar.

"Saya cadang nak pakai baju itu esok. Basikal saya untuk ke sekolah juga hangus," ujarnya.

Pegawai Operasi Bomba Jalan Tun Razak, Che Idros Saad memberitahu, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 10.39 pagi dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal api.

"Dua jentera bomba dari Jalan Tun Razak, Jalan Raja serta bomba sukarela Kampung Berjaya dikejarkan ke tempat kejadian.

"Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Tiada ulasan: