HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 November 2009

Di sebalik penyertaan Hasan Karim ke dalam Keadilan

Oleh Abu Firdaus


Walaupun penulis adalah seorang pendokong Parti Islam Semalaysia, tetapi perkembangan dalam parti-parti anggota Pakatan Rakyat seperti Parti Keadilan Rakyat dan Parti Tindakan Demokrasi amat dekat pada hati. Malah kesmua parti pembangkang nasional sentiasa menjadi perhatian berat. Ini kerana penulis berkongsi pandangan dengan Aziz Bari bahawa pewujudan dan pengukuhan system dua parti adalah penting bagi masa depan negara.

Antara tokoh yang amat penulis hormati ialah Hassan Karim, 58 tahun, Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang mengumumkan baru-baru ini meninggalkan partinya untuk menyertai Keadilan. Sebabnya ialah PRM enggan menyertai Pakatan seperti yang dicadangkan. Langkahnya mengejutkan rakan-rakannya dalam PRM kerana Hassan dari awal membantah pengabungan parti itu dengan Parti Keadilan Nasional untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat. Tetapi kini belia pula yang menyertai Keadilan.

Tetapi sebenarnya apa yang berlaku adalah jelas. Hasan mahukan PRM terus wujud tetapi turut bergabung di dalam Pakatan. Tidak seperti presiden PRM terdahulu, Syed Husin Ali yang mahu menggabungkan parti itru dengan Keadilan. Kini pula Syed Husin baru diumumkan sebagai seorang ahli Dewan Negara di negeri Selangor. Satu perkembangan yang bermakna kerana buat pertama kali seorang ssosialis dilantik sebagai senator di negara ini. Satu pencapaian ironi dalam masa fahaman itu sudah dipinggirkan dalam zaman berakhirnya Perang Dingin.

Walaupun penyertaan Hasan ke dalam Keadilan dan pelantikan Syed Husin menjadi senator tidak berkaitan tetapi ia mempunyai makna tersendiri dalam perjuangan sosialis di negara ini, yang kini menjadi komponen penting dalam Pakatan. Justeru dalam Pakatan dapat dilihat, ia kaya dengan mengandungi aliran Islam, demokrasi, liberal, nasionalis, sosialis dan alam sekitar. Begitu kayanya Pakatan melangkaui kandungan parti individu.

Apabila Hasan memilih untuk menyertai Keadilan daripada berada di luar Pakatan bermakna bukanlah beliau mengkhinatai perjuangan sosialisnya atau PRM sendiri tetapi dia telah faham dan meletakkan idealisme Pakatan di tempat yang lebih tinggi daripada PRM itu sendiri. Beliau melihat bahawa pembangkang nasional mesti bersatu dan tidak wajar mana-mana komponennya memecah-belahkan lagi sokongan dan tenaga.

Dalam hal ini perlu difahami mengenai istilah pembangkang nasional. Pakatan adalah gerakan pembangkang di peringkat nasional. Ini kerana pada masa ini Pakatan bukan pembangkang di peringkat lima negeri – Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Secara konsisten sejak PRM ditubuhkan pada tahun 1955, ia bersedia bergabung dengan lain-lain parti untuk perjuangan pembangkang.

Itulah semangat PRM asal yang ditubuhkan oleh Ahmad Boestamam. Malah semasa penubuhannya, turut di atas pentas ialah Burhanuddin Al-Helmy, Yang Dipertua PAS. Boestamam dengan tegas bahawa PAS dan PRM adalah bersaudara. Bukan saja kerana beliau dan Burhanuddin adalah rakan seperjuangan dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) tetapi itulah semangat perpaduan PAS-PRM.

Tetapi semangat ini tidak dituruti oleh aktivis-aktivis PRM dan PAS apabila kedua-dua ketua mereka itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Inilah hakikatnya. Kenyataan bahawa rakyat menolak PAS dan PRM adalah tidak benar. Apa yang melumpuhkan PAS dan PRM ialah ISA. Akibat akta ini, Malaysia dinafikan peluang untuk memiliki sistem dua parti.

Dengan ketiadaan Boestamam dan Burhanuddin, maka PAS dan PRM bertanding sesame sendiri di samping menentang Perikatan. Tentulah tenaga pembangkang begini ini dilemahkan. Tetapi semangat kerjasama dengan pembangkang adalah kuat bagi PRM dengan kesediaannya untuk menubuhkan Front Sosialis (FS) dengan Parti Buruh Malaya (PBM) dan Parti Konvensyen Malaysia . Kalaulah dahulu sebuah barisan ditubuhkan dengan menyatukan semua parti pembangkang teramsuk PAS, mungkin sejarah Malaysia kini adalah berbeza.

Setelah penubuhan Barisan Nasional, maka tentu PRM, ketika itu menjadi Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) menentang PAS yang bekerjasama dengan Umno. PSRM menjadi parti bagi mewakili orang melayu kerana PAS telah menyertai BN. Tetapi tidak pula PSRM mengusahakan penubuhan barisan bersatu dengan parti-parti pembangkang lain seperti DAP dan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas) yang ketika itu turut disertai oleh Boestamam.

Tetapi semasa kepimpinan ulama dalam PAS, PSRM pimpinan Syed Husin Ali dan sudah bertukar kepada PRM turut menyertai barisan pembangkang yang diterajui PAS iaitu Harakah Keadilan Rakyat (HAK). Sikap PRM yang sentioasa mahu bergabung di bawah barisan pembangkang tidak kira siapa yang mengetuainya terus berlaku baik semasa Gagasan Rakyat pimpinan Tengku Razaleigh mahupun Barisan Alternatif pimpinan Wan Azizah Ismail.

Semangat PRM untuk bersedia bekerjasama dengan barisan pembangkang nasionalk adalah konsisten. Tetapi apabila PRM digabungkan dengan Keadilan, itu yang sebahagiannya tidak bersetuju seperti Hasan. Itu bermakna menghilangkan identiti sendiri. Justeru beliau memperjuangkan penghidupan semula parti itu dan berjaya.

Malangnya apabila beliau mencadangkan supaya PRM turut menganggotai Pakatan rakyat, cadangan itu ditolak. Sedangkan semangat PRM adalah kerjasama dengan barisan pembangkang. Ada satu pilihan raya kecil pada tahun-tahun awal 1980-an, di mana PRM mengambil sikap tidak mahu bekerjasama dengan calon pembangkang penting iaitu Shahrir Samad. Shahrir yang bertanding sebagai calon bebas mewakili Team B Umno adalah sebenarnya suara pembangkang, akibatnya bukan saja calon PRM, Razak Ahmad kalah tetapi imej parti itu tercalar.

Justeru menolak untuk bekerjasama dengan Pakatan adalah bukan semangat asal PRM. Malah parti serpihan PRM, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam pilihan raya 2008 berjaya memenangi satu kerusi parlimen dan satu kerusi negeri kerana bergabung dengan Pakatan, ketika itu Barisan Alternatif. Maka PSM sendiri memegang semangat asal PRM. Hasan telah bertindak wajar dan diharap dapat mengukuhkan Keadilan dan Pakatan dari segi masa panjang, lebih-lebih dalam memasuki pergolakan politik yang tidak menentu

Tiada ulasan: