HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 November 2009

Wabak taun leburkan rekod kebersihan Terengganu

Oleh: Mat Zain Mat Isa


Minggu lalu, Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai mengesahkan bahawa punca utama penularan wabak taun di Terengganu ialah masalah kebersihan. Katanya, pencemaran di kesan berlaku di kilang-kilang ais, bengkel keropok lekor dan pasar basah. Tahap kebersihan amat rendah di premis terbabit memaksa taun diisytiharkan wabak di negeri itu.

“Hasil siasatan melalui sampel ayam mentah dan keadaan air di beberapa buah premis dan kilang ais terbabit didapati tercemar dengan kuman kolera,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat pesakit taun di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, 21 November lalu.

Menurutnya, sebanyak 115 premis berkaitan makanan dan minuman di sekitar bandaraya itu diperiksa. Hasilnya, 20 premis diarahkan tutup serta-merta apabila tahap pencemaran masing-masing melebihi paras pengawasan. Ia termasuk 11 buah kilang ais, sebuah pasar basah, empat restoran dan empat kilang keropok.

Wabak taun di Terengganu mula dikesan pada 11 November. Ia mencapai tahap kemuncaknya minggu lalu apabila 482 pesakit menerima rawatan di hospital. Mereka termasuk 322 pesakit dengan simptom cirit-birit, 138 yang disahkan jangkitan kolera dan 22 pembawa penyakit. Sehingga rencana ini ditulis ia telah menyebabkan satu kematian.

Penularan wabak itu memaksa pihak hospital menyediakan sembilan wad khas untuk penempatan pesakit-pesakit terbabit. Sebuah bilik khas untuk tujuh pesakit taun mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut disediakan di HSNZ.

Di antara faktor utama memudahkan penularan wabak taun ialah kurangnya kesedaran atau keprihatinan anggota masyarakat negeri itu terhadap aspek kebersihan. Sebab itu sebagai usaha menyedarkan orang ramai mengenai tabie wabak ini, pihak Jabatan Kesihatan merangka 130 sesi pendidikan kesihatan di sekitar Kuala Terengganu dalam masa terdekat.

Bagi kita, di situlah letaknya moral utama di sebalik kes wabak taun ini. Bahawa tahap kesedaran masyarakat Terengganu, khususnya warga bandaraya ibu negerinya, berhubung keperluan menjaga kebersihan sekitar kediaman dan premis perniagaan masih terlalu mendukacitakan.

Hakikat ini tentu agak ironi apabila diambil kira bahawa di Terengganu juga lah rekod gotong royong kebersihan terbesar telah tercipta beberapa tahun lalu. Pada 29 Julai 2006, terpahat satu sejarah di negeri itu apabila 240,830 penduduk di seluruh negeri dikatakan menyertai program gotong royong serentak di daerah masing-masing.

Ia diiktiraf Malaysian Book of Records (MBoR) sebagai program gotong royong melibatkan penyertaan paling ramai secara serentak. Pemimpin yang bertanggungjawab memaksa ideanya direalisasikan pengikut-pengikutnya itu bukan main bangga dengan rekod itu.

Antara ulasan dan tanggapan utama dari program anjuran kerajaan negeri itu ialah sebagai bukti betapa rakyat negeri itu amat mengambil berat soal kebersihan. Ia turut dijustifikasikan sebagai penjana kesedaran lebih positif dalam masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kebersihan.

Malangnya segala kebanggaan mencipta rekod tersebut hanyalah palsu dan tidak membawa apa-apa erti. Walau pun kejayaan program itu amat dibangga dan diulangsebut penganjurnya, kesan positif yang didakwa terhasil darinya hampir tidak ada.

Tanyalah sesiapa pun yang ada di Terengganuu sejak tarikh gotong royong perdana tiga tahun lalu itu, apakah tahap penjagaan kebersihan dan pengurusan sampah penduduknya menggambarkan ada kesan sangat positif dari program yang bermatlamat mencipta rekod dan bermegah-megah itu?

Jawabnya ‘tidak’. Bukti yang ada dalam masyarakat adalah pelbagai. Kemuncaknya ialah apa yang ada di hadapan mata kini. Penularan wabak taun di Terengganu secara jelas dikaitkan dengan tahap kesedaran rakyatnya yang sangat rendah terhadap penjagaan kebersihan.

Ertinya, rekod gotong-royong perdana itu hanyalah pencapaian ‘lipstick’. Ia sekadar memenuhi cita-cita politik seorang pemimpin yang sangat gila mencipta rekod itu dan ini, sedangkan kesan yang digambarkan daripada kesungguhan itu tidak ke mana.

Kononnya Terengganu paling bersungguh memastikan kebersihan negeri. Kini, ke mana lenyapnya kesungguhan rakyat dan juga agensi kerajaannya, sehingga tahap kebersihan sepatutnya bukan sahaja gagal dipertahankan, malah lebih memalukan berbanding negeri-negeri lain yang tidak pernah mencipta rekod kebersihan sebegitu hebat?

Harus diiktibarkan dari kes ini bahawa punca utama kegagalan program yang mencipta rekod kebersihan itu ialah kerana tiada keberkatan dari Allah. Sesuatu amalan yang dilakukan dengan niat mencari kemegahan dan pujian manusia amat jauh dari keberkatan. Amalan yang tidak diberkati Tuhan bukan sahaja menjadi sia-sia tetapi turut tidak memberi kesan baik kepada pelakunya.

Dari perspektif itu, keruntuhan dan kemusnahan yang berlaku kepada beberapa binaan yang dianggap sebagai rekod di Terengganu sebelum ini juga menghasilkan tanggapan serupa. Contohnya, stadium yang sengaja dibina dengan rekabentuk unik bertujuan dimegahkan sebagai paling canggih di Asia, akhirnya runtuh dalam keadaan amat mengaibkan.

Masjid Hadhari yang dinobatkan oleh penganjur pembinaannya sendiri sebagai masjid paling komprehensif dengan pelbagai kemudahan, sudah pun mengalami kebocoran dan kerosakan belum sampai setahun disiapkan.

Tiada ulasan: