HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 November 2009

Makan kedondong dapat bayi gergasi


KIRI: Bayi lelaki gergasi seberat 6.15kg yang dilahirkan seorang ibu, Aisha Bee
Yasin di Pekan Lama Kampung Baru, Changlun kelmarin.



BUAH kedondong


CHANGLUN - Percaya atau tidak, dengan mengamalkan memakan buah kedondong setiap hari sewaktu mengandung, seseorang ibu mungkin melahirkan bayi dengan berat yang luar biasa.

Itulah apa yang berlaku ke atas Aisha Bee Yasin, 35, yang melahirkan bayi seberat 6.15 kilogram (kg) kelmarin.

Bayi lelaki yang dilahirkan secara normal di sebuah pusat perubatan swasta di sini pada pukul 1.15 pagi itu dipercayai antara bayi terbesar pernah dilahirkan di Malaysia.

Aisha Bee yang berasal dari Air Hitam, Pulau Pinang bukan setakat menjamah sebiji buah kedondong. Setiap hari dia memakan sekilogram kedondong selain memakan dua kuntum bunga ros merah bermula daribulan kedua kehamilan.

"Saya tidak makan nasi kecuali nasi lemak. Selain kedondong dan bunga ros, saya makan roti dan minum susu. Adakalanya saya menjamah laksa atau tosai.

"Rutin saya setiap hari ialah makan kedondong dan bunga ros. Ahli keluarga lain tidak boleh sentuh buah itu, saya seorang sahaja yang makan," katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Pekan Lama, Kampung Baru di sini semalam.

Aisha Bee, seorang suri rumah, memberitahu, sebelum ini sepanjang mengandung empat anaknya yang lain, dia mengidamkan timun dan lobak tetapi kali ini makanan itu langsung tidak disentuh.

Katanya, bunga ros mudah dibelinya di sekitar Changlun tetapi buah kedondong terpaksa dibeli oleh suaminya, Mohd. Ali Khan Razali, 41, di Alor Setar dan Pulau Pinang.

Tambahnya, mengikut sejarah, keluarganya tidak pernah melahirkan bayi sebesar itu kecuali anak keempatnya, Nur Hasyimah yang seberat 5kg ketika dilahirkan.

Tiada ulasan: