HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 November 2009

27 produk kosmetik dilarang

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan hari ini melarang pengedaran, penjualan dan penggunaan sejumlah 27 produk kosmetik termasuk produk yang didakwa mampu memperbaiki penglihatan.

Menurut kenyataan bahagian itu di sini hari ini, larangan itu dikeluarkan memandangkan produk tersebut didaftarkan sebagai kosmetik tetapi diiklan dan digunakan bagi tujuan perubatan.

''Produk-produk itu pada asalnya didaftarkan sebagai produk kosmetik untuk digunakan pada bahagian luaran mata bagi menghilangkan kesan lebam sekitar mata, melembapkan dan mengurangkan kesan kedut pada kelopak mata.

''Bagaimanapun, ia telah disalahgunakan untuk merawat dengan cara menitis ke dalam mata,'' katanya.

Menurut kenyataan itu, larangan itu turut melibatkan produk-produk untuk dititis ke dalam hidung bagi merawat hidung berair, bersin dan nafas berbau.

Dakwaan yang lazim dinyatakan pada produk-produk tersebut ialah untuk mencerahkan penglihatan, mengurangkan rabun jauh atau dekat dan menyegarkan saraf mata.

''Ia dikategorikan sebagai dakwaan perubatan dan tidak boleh digunakan pada produk kosmetik,'' kata kenyataan itu lagi.

Pengeluar produk kosmetik juga tidak boleh mendakwa produk mereka boleh mengurangkan gatal dan pedih mata, mengeluarkan habuk mata, sakit mata dan sebagainya.

Ini kerana produk kosmetik adalah untuk digunakan di luar tubuh seperti kulit, rambut, kuku, bibir, gigi dan dalam rongga mulut bagi tujuan membersih, mewangi, mencantik, memperbaiki, melindungi, menjaga dan menghilangkan bau badan.

Tambah kenyataan itu, produk-produk yang digunakan dengan cara menitis ke dalam mata dan hidung adalah di luar takrifan kosmetik dan sepatutnya dikawal sebagai produk farmaseutikal.

''Produk sedemikian perlu dikilangkan di premis-premis pengilangan yang bertaraf Amalan Perkilangan Baik bagi produk farmaseutikal dan untuk itu premis tersebut perlu mempunyai kelengkapan yang spesifik bagi mengeluarkan produk steril.

''Produk yang didaftarkan sebagai kosmetik tidak memenuhi keperluan ini,'' katanya.

Tambah kenyataan itu, pengguna perlu lebih bijak dan berpengetahuan apabila memilih produk kosmetik yang sesuai untuk mereka selain peka dan tidak terpengaruh dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengeluar.

Antara produk yang dilarang penjualannya ialah Toner Mata Permata Hijrah Ainun, Permata Hijrah Toner Hidung, Ainun Toner Mata, Ainun Syifa Toner Mata, Anfun Toner Hidung Seduan, Mahligai Selasih Toner Mata, Medi Sunnah Toner Mata, Toner Hidung, Toner Hidung Anfun Syifa, Toner Mata dan Toner Mulut Fahmun Syifa.

Produk lain ialah rangkaian Alkaline Therapy Pearl Extract I hingga VI, rangkaian semburan mata Ainun Taharah Eye Spray Neutral Therapy dan Ainun Taharah Eye Spray Day and Night.

Tiada ulasan: