HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 April 2010

Anwar, Perkasa pikat Melayu kerana berani, kata Sanusi

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Pemimpin veteran Umno Tan Sri Sanusi Junid berkata, Perkasa yang dipimpin Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali mendapat sambutan sebab pemimpinnya dilihat sebagai “berani dan memperjuangkan hak” orang-orang Melayu.

Sehubungan itu, Sanusi yang pernah menyandang jawatan naib presiden dan setiausaha agung Umno memberitahu, orang Melayu mahukan pemimpin-pemimpin yang berani dan dilihat mampu berjuang terutamanya di kalangan orang muda.

Disebabkan keberanian dan berjuang untuk golongan muda, Sanusi berkata, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) juga menjadi ikutan.

“Orang Melayu mahukan pemimpin yang berani. Pemimpin yang dilihat berjuang terutamanya di kalangan orang muda, sebab itu mereka suka kepada Anwar kerana cara Anwar berceramah.

“Dan, mereka lihat Anwar berani. Sedangkan apa yang dilakukan oleh Anwar sekarang hanyalah melengah-lengahkan kesnya dengan harapan akan menjadi perdana menteri selepas pilihan raya nanti dan kes liwat itu boleh dibatalkan.

“Sebab itu Perkasa dapat sambutan sebab pemimpinnya dilihat berani dan memperjuangkan hak mereka.

“Sokongan terhadap Perkasa bukan kalangan orang tua, malah orang muda turut memberi sokongan terhadap perjuangan Perkasa,” kata beliau dalam temu bual dengan Mingguan Malaysia disiarkan hari ini.

Sanusi yang tewas dalam pemilihan jawatan naib presiden pada 1993 ketika Anwar bertanding jawatan timbalan presiden memberitahu, sebenarnya untuk membetulkan persepsi di kalangan seglintir rakyat Malaysia kononnya Anwar itu hebat tidak sukar.

“Caranya hanya dengan menguatkan Umno dan BN. Pemimpin Umno juga perlu menunjukkan keberanian mereka,” kata beliau.

Sanusi bukan calon sokongan pasukan Anwar ketika itu. Turut tewas ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (bekas perdana menteri dan kini Tun).

Sanusi juga menambah, Anwar hanyalah alat atau boneka DAP untuk mencapai cita-cita mereka.

“Tidak tahulah kalau Anwar tidak tahu dia sebenarnya boneka,” katanya lagi.

Jelas Sanusi, dalam keadaan begini Umno sepatutnya bergerak untuk menjadi kuat kerana Pakatan Rakyat yang dipimpin Anwar sebenarnya lemah.

“Anwar juga lemah dan dia juga tidak ada isu selain menggembar-gemburkan apa yang tidak ada, misalnya 1 Malaysia yang kononnya ilham Yahudi dan macam-macam lagi,” kata bekas anggota Kabinet persekutuan dan bekas Menteri Besar Kedah ini.

Oleh itu kata beliau, Umno patut bekerjasama dengan semua pertubuhan bukan kerajaan termasuk Perkasa, lebih-lebih lagi kerana “Ibrahim lebih mengenali Anwar daripada saya”.

“Mereka sama-sama dalam penjara. Umno bernasib baik kerana DAP menolak 1 Malaysia, bermakna cakap-cakap bahawa 1Malaysia adalah jelmaan Malaysian Malaysia telah dapat dipatahkan,” katanya lagi.

Berhubung soalan sejauh mana Pakatan Rakyat mampu bertahan dan bekerjasama untuk menjayakan matlamat mereka, Sanusi berkata, pakatan pembangkang itu kini bercelaru dan tidak percaya mereka akan berjaya.

“Saya juga tidak percaya parti-parti yang menganggotai pakatan pembangkang itu akan dapat benar-benar bekerjasama jika pun mereka dapat memerintah negara ini,” kata Sanusi sambil menambah, Anwar hanya diperalatkan oleh DAP.

Katanya, DAP perlu ada seorang Melayu untuk mengetengahkan agenda mereka.

“Jika tidak ada Anwar DAP akan cari orang lain, orang tidak cerdik pun tidak apa, sekarang Anwar mungkin cerdik tetapi kalau Anwar tak ada nanti, DAP akan cari juga seorang Melayu.

“Saya percaya Anwar pun tahu. Ini kerana DAP tahu mereka sahaja tidak akan mampu mencapai matlamat dan cita-cita untuk menguasai negara ini,” katanya lagi.

Selain itu dakwa Sanusi, beliau juga percaya pemimpin PAS tidak sayang sungguh-sungguh kepada DAP.

“Di hati mereka tidak mungkin akan membiarkan negara ini terlepas kepada DAP biarpun atas nama pakatan pembangkang.

“Cumanya sekarang ini, PAS seperti mencuba-cuba atau mempunyai matlamat sendiri dalam kerjasama dengan pakatan pembangkang.

“Biarpun Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sering bercakap macam-macam tetapi saya percaya dan saya yakin jauh di sudut hati Nik Aziz dia dia bekerjasama dengan DAP secara strategi sahaja. Mungkin dia meluat kepada sesetengah pemimpin Umno,” kata Sanusi lagi.

Tiada ulasan: