HALAMAN SANTAI

Jumaat, 2 April 2010

Berita media pengampu pentingkan BN

Harakahdaily


MELAKA: Berita-berita yang disiarkan oleh media pengampu hanya untuk kepentingan BN, malah etika kewartawanan sering dilanggar dengan memuatkan berita-berita palsu, fitnah dengan menyelewengkan fakta sebenar.

Justeru, Ketua Penerangan PAS Melaka menyifatkan kebebasan media di negara ini terus berkubur apabila satu lagi akhbar dinafikan permit penerbitanya iaitu Konsep Era Pakatan.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri telah memberikan pelbagai alasan yang tidak konkrit mengapa akhbar itu tidak disambung permitnya.

Tambahnya, terbukti bahawa kebebasan media di negara ini terus berkubur walaupun pemimpin negara mendakwa sedang menuju era negara maju.

Lebih malang lagi, katanya rakyat terus disogokkan dengan laporan berat sebelah yang dihidangkan oleh semua media arus perdana di mana laporan tentang parti-parti selain dari BN sering dimanipulasi untuk menggambarkan keburukan mereka.

“Saya menggesa kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri supaya segera memperbetulkan keadaan ini supaya imej negara kita yang buruk dari segi kebebasan media dapat diperbaiki dengan segera,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan berat sebelah dan tidak demokratik itu tidak memberikan apa-apa kebaikan dengan negara dan rakyat.

Katanya, jika tujuan kerajaan dan kementerian melakukan perkara itu adalah untuk menghalang rakyat mendapat maklumat sebenar maka ia adalah silap.

Ini kerana, katanya rakyat mempunyai alternatif lain seperti portal berita, blog, facebook dan lain-lain yang tersedia di internet.

Baginya, tidak ada gunanya menghalang kebebasan media kerana ianya menimbulkan lebih rasa tidak puas hati dan kebencian rakyat kepada BN.

Tiada ulasan: