
Oleh Sidiqin Omar
KUALA KUBU BAHARU - KEADILAN mendesak kerajaan menyiasat dan menyelesaikan kes berhubung tindakan pihak polis yang menembak secara rambang seorang ibu tunggal, Norizan Salleh dalam satu kejadian Oktober tahun lalu.
Mangsa telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak kerajaan termasuk bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi mendapatkan pembelaan berikutan tindakan pihak polis yang hampir meragut nyawanya.
Ketua Penerangan KEADILAN, Latheefa Koya menjelaskan tujuan kehadiran mangsa ke sidang akhbar Pakatan Rakyat pagi semalam adalah untuk menuntut keadilan bagi dirinya dan mendesak supaya tindakan tegas diambil ke atas anggota polis yang terlibat.
Dalam kejadian tersebut, Norizan ditembak sebanyak 5 das dari arah belakang yang menembusi tubuh mangsa.
Mangsa yang dalam keadaan lemah kemudiannya ditendang dan dipijak sehingga menyebabkan dua tulang rusuknya patah.
"Kita berasa hairan, bagaimana kes serius seperti ini boleh diabaikan. Dan mengapa pihak polis dibenarkan untuk menggunakan senjata api dengan sewenang-wenangnya," tanya Latheefa.
Peguam yang mewakili mangsa, N Surendran mambangkitkan persoalan mengenai tempoh yang terlalu lama diambil oleh kerajaan untuk menangani kes ini walaupun telah diadukan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, KDN dan juga Parlimen Malaysia.
"Kami juga kesal dengan sikap Menteri Dalam Negeri yang berjanji untuk menyelesaikan perkara tersebut, namun tindakan sebaliknya yang beliau lakukan dengan mendakwa mangsa terlibat dalam jenayah yang tidak dia lakukan", kata Surendran.
Latheefa menyeru kepada pihak media untuk membangkitkan perkara ini kerana kes tersebut merupakan gambaran kepada banyak kejadian yang melibatkan kecuaian anggota polis yang boleh memudaratkan keselamatan orang awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan