HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 April 2010

Isu calon: MIC tunduk kepada Umno?

THE MALAYSIAN INSIDER

HULU SELANGOR — Ketika kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor memasuki kempen hari keenam.Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan pembangkang yang menyatakan MIC telah tunduk kepada Umno dalam pemilihan calon untuk bertanding di pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Timbalan Perdana Menteri berkata MIC, parti politik terbesar yang mewakili India di negara ini, adalah rakan Umno dalam Barisan Nasional (BN) dan soal sesebuah parti komponen tunduk kepada komponen lain tidak timbul langsung.

“Konsep berkongsi kuasa yang diamalkan BN telah bermula sekian lama di mana kita duduk bersama dan bincang.

“Semua parti komponen BN membantu mentadbir negara supaya semua kaum dapat menikmati kemajuan negara. Walaupun kawasan Hulu Selangor mempunyai majoriti pengundi Melayu, Umno tidak mengambil kerusi itu kerana kita sepakat dan tahu kerusi itu milik MIC.

“Pada awalnya, ada suara-suara daripada Umno yang ingin melihat parti itu bertanding kerusi ini tetapi saya dan PM setuju agar kerusi ini diberikan kepada MIC mengikut tradisi kita,” katanya di majlis ramah mesra bersama penduduk Taman Bukit Teratai di sini.

Turut hadir Presiden MIC Datuk S. Samy Vellu dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Keputusan itu diambil kerana pucuk pimpinan negara ingin melihat seorang lagi berbangsa India dalam Parlimen, katanya.

“Kita pilih calon yang terbaik dan sebab itulah kita pilih P. Kamalanathan.

“Dalam beberapa hari ini, dia telah membuktikan yang dia layak menjadi wakil BN.

“Pengundi India di sini patut menyokong beliau tanpa was-was kerana saya yakin dia akan menjadi seorang ahli Parlimen yang baik,” kata beliau dipetik Bernama.

Kamalanathan akan ditentang Datuk Zaid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat.

Dakwaan pembangkang bahawa MIC telah tunduk kepada Umno dalam pemilihan calon BN bagi pilihan raya kecil itu timbul ekoran calon dicadangkan MIC, Datuk

G. Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC tidak dipilih, dan sebaliknya pucuk pimpinan BN memutuskan muka baru, Kamalanathan yang juga Ketua Penerangan MIC sebagai calon BN.

Muhyiddin berkata pembangkang kini gusar kerana calon BN adalah seorang yang berwibawa, berpelajaran dan boleh menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya MIC mempunyai agenda tersendiri untuk membangunkan masyarakat India, tidak seperti pembangkang yang tidak langsung mempunyai sebarang pelan pembangunan bagi masyarakat itu.

“Pembangkang tahu cerita sahaja. Hal itu dan hal ini. Buat buat cerita... itu mereka pandai. Tapi semua tak betul. Di Malaysia parti pembangkang tiada modal lagi,” katanya.

Tiada ulasan: