HULU SELANGOR — Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggunakan pendekatan mesra rakyat dalam kempennya untuk pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor ini.
Pengerusi PKR Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang juga Menteri Besar berkata, PKR tidak akan terbabit dalam sebarang pertelingkahan atau bermain dengan emosi orang ramai dalam usaha meraih sokongan dalam kempennya.
“Ceramah kami semasa kempen nanti akan lebih berorientasikan rakyat dan bukannya berorientasikan janji-janji, tapi kami akan jadi ofensif sekiranya terdapat usaha menipu rakyat Selangor,” kata beliau selepas sesi bertemu rakyat di Hulu Bernam dekat sini.
Beberapa jam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor semalam, Datuk Seri Noh Omar berkata Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan ofensif menghadapi saingan kali ini.
“Kalau selama ini kita menggunakan cara defensif, mulai sekarang kita akan menggunakan cara ofensif,” kata Timbalan Pengerusi Umno Selangor itu.
Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor merupakan yang pertama di Selangor sejak pilihan raya umum Mac 2008.
Merujuk kepada calon PKR untuk pilihan raya kecil itu Abdul Khalid berkata, kepimpinan tertinggi parti akan mengumumkan namanya apabila tiba masanya, malah menurutnya beliau sendiri sehingga kini tidak tahu siapa yang akan diketengahkan sebagai calon.
Majlis Pimpinan Pusat PKR akan mengadakan mesyuarat esok, dijangka menyentuh soal calon sebelum diputuskan oleh jawatankuasa pemilihan minggu depan.
Khalid juga berkata beliau akan mengetuai jentera pilihan raya PR-PKR.
Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu Datuk Zainal Abidin Ahmad, 71 dari PKR akibat barah otak
pada 25 Mac lepas, dan hari penamaan calon ditetapkan pada 17 April, manakala hari mengundi ditetapkan pada 25 April.
Dalam perkembangan lain Khalid yang dipetik Bernama berkata, ibu bapa yang tinggal lebih dari lima tahun di Selangor kini boleh mendaftarkan anak-anak mereka dengan Tabung Anak Selangor (Tawas) walaupun anak-anak mereka dilahirkan di luar Selangor.
“Para ibu bapa berkenaan perlu mendapat pengesahan daripada ketua kampung atau pengawai daerah masing-masing bagi tujuan itu,” tambahnya.
Tawas merupakan antara projek kerajaan Selangor dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Negeri, dan antara lain agendanya ialah bagi membolehkan anak-anak yang terpilih untuk didaftar berpeluang menerima RM 1,500 tiap seorang hasil daripada pelaburan mereka dalam tabung itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan