IPOH - Satu memorandum meminta supaya ditarik balik gelaran dan pingat yang dianugerahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang akan diserahkan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, esok.
Memorandum oleh Pemuda UMNO, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu akan diserahkan di Istana Kinta di sini.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Maslin Sham Razman berkata, tindakan itu diambil berikutan tindakan ADUN-ADUN terbabit tidak menghormati sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
''Mereka telah membawa masuk pelbagai kertas tertera perkataan yang yang menghina kerajaan negeri penubuhannya diperkenankan oleh sultan, selain membuat kenyataan berunsur jahat terhadap polis.
''ADUN pembangkang diketuai bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin seolah-olah mengajak rakyat untuk membenci Sultan Perak sebagai payung kepada rakyat jelata," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO di sini hari ini.
Dalam masa sama, Pemuda UMNO mendesak supaya Speaker DUN, Datuk R. Ganesan selaku Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN mengambil tindakan tegas ke atas ADUN yang bersikap buruk sepanjang sidang DUN berlangsung.
Selain itu katanya, beliau telah meminta Pemuda UMNO bahagian di seluruh negeri ini turut membuat laporan polis mengenai kelakuan ADUN pembangkang yang tidak menghormati undang-undang.
Maslin Sham berkata, perlakuan buruk yang dipertontonkan kepada rakyat semasa sidang DUN semalam merupakan belang sebenar pembangkang yang hanya memperjuangkan kepentingan politik peribadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan