HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 April 2010

Penyokong ekstrem jejas undi

SINAR HARIAN ONLINE



SHAH ALAM – Penyokong parti politik perlu memperlihatkan kematangan dan sentiasa rasional semasa melakukan provokasi pilihan raya bagi mengelakkan daripada insiden buruk dan kekecohan berlaku.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian berkata, penyokong parti perlu matang selari dengan kematangan politik parti yang diwakilinya.

“Ini kerana jika mereka bertindak menimbulkan kekecohan akan memberi impak kepada parti politik yang disokongnya kemungkinan akan menjejaskan jumlah undi kepada calon dan parti yang disokongnya.

“Penyokong parti perlu bertamadun, berhemah dan bermoral. Jika penyokong bertindak secara radikal dan ekstrem adalah seperti memperlihatkan sifat sebenar parti politik yang disokongnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, provokasi keterlaluan oleh para pe nyokong parti politik yang ekstrem semasa pilihan raya dijangka akan terus menjadi trend jika tiada penekanan dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.

“Insiden kekecohan yang berlaku semasa pilihan raya tercetus daripada tindakan emosional penyokong parti politik ekstrem dan radikal yang terlalu taksub dengan calon dan parti yang disokongnya.

“Oleh kerana terlalu taksub, provokasi yang dilakukan pada mulanya untuk memberi sokongan kepada calon dan parti akhirnya menjadi tidak terkawal dengan tindakan melemparkan objek kepada penyokong lain sehingga menjadi kecoh,” katanya.

Beliau berkata, trend menjadikan pilihan raya sebagai ‘medan’ provokasi ekstrem akan berlanjutan jika tiada penguatkuasaan undang-undang dan mekanisme dalam mengawal tingkah laku penyokong parti politik.

“Walaupun kekecohan pilihan raya di negara ini masih lagi terkawal, kebimbangan apabila gejala ini tidak dibendung akan memberi kesan kepada keselamatan negara,” katanya.

Tiada ulasan: