
Oleh Fazli Othman
KUALA KUBU BHARU- Sekumpulan penyokong Barisan Nasional membuat provokasi dan bertindak liar dengan membaling batu serta memecahkan cermin tingkap beberapa buah kereta kepunyaan penyokong Pakatan Rakyat semasa hari penamaan calon di Dewan Kuala Kubu Bharu semalam.
Salah seorang mangsa perbuatan ala gengster penyokong Umno-BN, Abdul Razak Muhd Hansul Karip membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kubu Bharu petang semalam. Razak berkata beliau berada di dalam kereta milik abangnya itu bersama tiga lagi rakan ketika dikepung dan dipukul dengan kayu serta dibaling dengan batu menyebabkan kereta abangnya kemek dan cermin tiingkap semasa dalam perjalanan ke tempat penamaan calon pagi semalam.
Yang lebih menyedihkan beliau mendakwa anggota keselamatan yang bertugas berhampiran dengan tempat kejadian memerhati sahaja tanpa berbuat apa-apa.
"Masa kami lalu daripada pekan Kuala Kubu Baharu, jalan sudah banyak tutup, polis buat lorong melalui jalan di depan masjid dan secara tiba-tiba penyokong BN datang terus kerumun kereta dan kemudian menyepak terajang dan memecahkan cermin kereta tanpa polis berbuat apa-apa," kata Razak.
Sambil itu beliau juga meluahkan rasa marah dan kesal terhadap pihak berkuasa yang tidak mengambil tindakan terhadap penyokong BN yang bertindak liar serta tidak menghormati undang-undang.
Seorang lagi mangsa politik ganas Umno-BN, Baharomsham Mohamed Yusuf juga membuat laporan polis yang sama berkata beberapa orang pemuda membaling batu ke arah masjid serta beberapa orang yang memakai baju logo BN yang lain bertindak memijak dan memecahkan cermin kereta yang diletakkan di tempat letak kereta yang disediakan untuk penyokong Pakatan Rakyat.
"Selepas penamaan calon, saya nampak beberapa orang baling batu ke arah masjid tapi saya tidak pasti penyokong siapa, kemudian saya nampak ada dua tiga penyokong BN di kawasan letak kereta memijak dan memecahkan cermin tingkap kereta.
"Apa yang saya kesal ialah kehadiran anggota polis yang ramai sepatutnya dapat bertindak mengawal keadaan semasa kejadian tersebut berlaku," apabila ditanya Suara Keadilan menghubung insiden ganas oleh penyokong BN semasa hari penamaan calon semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan