HULU SELANGOR: Pertubuhan Peladang di seluruh negara disaran menubuhkan pasar peladang di kawasan masing-masing bagi membolehkan anggotanya memasarkan sendiri produk yang dihasilkan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, perkara itu perlu diusahakan kerana setakat ini hanya terdapat 10 pasar peladang sahaja berbanding 272 pertubuhan peladang yang ada di seluruh negara.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa menggalakkan semua 272 pertubuhan peladang di seluruh negara mencari tempat untuk menubuhkan pasar peladang bagi memberi peluang kepada anggota untuk menjual sendiri produk mereka.
"Sekarang ini baru ada 10 pasar peladang di seluruh negara. Lebih banyak pasar seumpama ini diperlukan. Kerajaan sedia beri bantuan bagi tujuan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Peladang Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Hulu Selangor di pekan Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Pertubuhan Peladang, Arpan Shah Satu dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri, Datuk Zainal Dahalan. Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu Noh mengumumkan pemberian peruntukan RM100,000 kepada Pasar Peladang PPK Hulu Selangor bagi menaik taraf prasarana dan kemudahannya.
Beliau berkata, setelah lima tahun beroperasi, pasar yang terletak di sebelah sebelah dengan pasar awam dan setesen bas Kuala Kubu Bharu itu masih agak ketinggalan dari segi prasarananya.
"Dengan hanya 30 peniaga berniaga ketika dibuka pada 2005 pasar ini terus berkembang, dan jumlah peniaga di sini ketika ini ialah 78 orang. Mereka ini dilihat ada kesungguhan, dan atas daya usaha sendiri mereka memajukan pasar ini. Oleh itu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengambil keputusan untuk memberi peruntukan bagi meningkatkan prasarana di sini," katanya.
Noh berkata, daripada 10 pasar seumpama ini di seluruh negara, Pasar Peladang Kuala Kubu Bharu adalah yang termaju dengan nilai jualannya pada tahun lepas mencecah RM9 juta. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan