Faisal Mustaffa dan Shen Yee Aun
Sejurus apabila terlintas dengan sebidang blog aminchenor.blogspot.com, saya berasa seolah-olah tidak percaya. Pelajar Aswara pernah ditahan untuk disoal siasat akibat komen di dalam facebook berkaitan dengan isu "bom petrol". Teresa Kok pernah didakwa menghina azan dan disoal siasat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Raja Petra Kamaruddin terpaksa menjadi pelarian akibat beberapa potong rencananya. Semuanya atas dasar isu perkauman dan membangkitkan rusuhan.
Saya terus memberitahu diri sendiri, sekiranya rencana sebegini ditulis oleh saya, barangkali polis akan berada di rumah saya dan membawa ke balai polis untuk turut disoal siasat.
Tidak mustahil juga permohonan lanjutan tahanan akan dikemukakan agar siasatan diperlanjutkan untuk, kononnya, mengumpul bahan bukti. Seperti Raja Petra (gambar kiri), komputer akan diambil dan tidak dipulangkan dengan pelbagai alasan dan borang yang perlu diisi. Ada juga kes yang menjumpai buku resipi dan dijadikan bahan bukti. Payah!
Di dalam profailnya, pemilik blog ini menjawat jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Maran. Rencananya berjudul Tuntutan Buat Kerajaan Malaysia bertarikh 22 Mei 2009. Beliau meletak namanya sebagai Apache.
Penulisan blog yang diambil ditulis dalam huruf besar dalam warna biru.
Blog aminchenor itu menulis:
1) HAPUSKAN HAK MENGUNDI KAUM BUKAN BUMIPUTRA
(MEREKA SEMEMANGNYA TIDAK LAYAK MENGUNDI DI MALAYSIA INI KERANA MEREKA HANYA MENGUNDI BERASASKAN KAUM SAHAJA.)
Perlu dikatakan di sini bahawa sekiranya hendak hapuskan hak mengundi bukan bumiputera maka adakah aminchenor mencadangkan supaya perlembagaan kita dihapuskan terlebih dahulu? Hal ini disebabkan hak mengundi semua rakyat Malaysia termaktub dalam perlembagaan.
Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan.
Artikel 119 (1) menyebut bahawa "Tiap-tiap warganegara yang (a) telah mencapai umur 21 tahun pada tarikh kelayakan; dan (b) bermastautin dalam sesuatu bahagian pilihanraya pada tarikh kelayakan itu atau, jika tidak bermastautin sedemikian, adalah seorang pengundi tak hadir, dan (c) didaftarkan, di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pilihan raya, dalam daftar pemilih sebagai pemilih dalam bahagian pilihan raya tempat dia bermastautin pada tarikh kelayakan; berhak mengundi…"
Bagaimana Apache hendak menjadi seorang pejuang Melayu yang tulen jika kesalahan perkataan hapus adalah kata dasar yang perlu ada kata kerja untuk menjadi sesuatu perkataan yang bersifat kata kerja. Beliau sepatutnya menyatakan bahawa "Menghapuskan Hak Mengundi Kaum Bukan Bumiputera".
Blog tersebut menyatakan:
2) BATALKAN SEMUA PARTI POLITIK YANG BUKAN MILIK KAUM BUMIPUTRA DI TANAH MELAYU INI.
( PARTI MEREKA INI AMAT RACIST DAN JIKA MEREKA KOMPONEN SEKALIPUN MEREKA TIDAK MEMBANTU KITA BUMIPUTERA, SEBALIKNYA MEREKA MENUNTUK HAK MILIK KITA KAUM PERIBUMI)
Perkara ini boleh dilakukan oleh Kerajaan. Sekiranya kita mengikut undang-undang lazim, sekiranya kita hendak membatalkan semua parti politik bukan milik kaum Bumiputera di Tanah Melayu maka anda perlu terlebih dahulu hapuskan tiga perkara dalam rukun negara kita iaitu perkara ketiga, keempat dan kelima.
3. Keluhuran Perlembagaan
4. Kedaulatan Undang-Undang
5. Kesopanan dan Kesusilaan
Hak berparti dan berpersatuan termaktub dalam perniagaan dan undang-undang. Jika hendak menghapuskan keluhuran dan daulatnya boleh. Keadaan ini juga menandakan penghapusan Rukun Negara kita merupakan satu tindakan yang tidak bersopan.
Kesalahan bahasa Melayu yang ketara sekali lagi berlaku. Pertama penulis blog ini seharusnya menggunakan perkataan "membatalkan". Kata kerja "mem" perlu mendasari kata dasar batal baharu boleh menjadi kata kerja. Kedua anda tidak perlu menggunakan perkataan yang mendepani bukan milik kaum Bumiputera. Ayatnya seharusnya "membatalkan semua parti politik bukan milik kaum bumiputera di Tanah Melayu".
Dipercayai bahawa penulis ini seorang ahli parti melayu, UMNO (melalui profail blog yang boleh dibaca). Sebagai sebuah parti Melayu, parti berkenaan mereka tidak sepatutnya ada perkataan sebegini. Hanya parti mereka ini amat perkauman dan bukannya menggunakan perkataan racist (bahasa Inggeris). Ayat yang sepatutnya ialah Parti mereka akan bersifat perkauman dan jika parti komponen yang seiring dengan parti Bumiputera sekalipun mereka tidak akan membantu Bumiputera. Sebaliknya mereka menuntut hak milik Bumiputera yang merupakan kaum Peribumi.
Selain itu, blog Apache ini juga menyatakan:
3) KEMBALIKAN SEMULA HAK-HAK MELAYU YANG TELAH DILIBRALISASIKAN BULAN LEPAS.
Penulis blog ini perlu mengetahui bahawa kesemua hak yang ada pada beliau bukannya dirampas oleh kaum bukan Bumiputera. Perdana Menteri, pemimpin dan kerajaan Melayu dan Bumiputera yang meliberalisasikan hak-hak tersebut. Barangkali Apache ini berkehendakkan agar Perdana Menteri Melayu yang ada sekarang dihapuskan kerana pemimpinnya itu meliberalisasikan hak beliau?
Rencana tersebut juga menyatakan:
4) RUNTUHKAN PATUNG DEWA HINDU BERDIRI DI BATU CAVES DAN PATUNG BUDDHA DUDUK DI TUMPAT KELANTAN.
(INI MERUPAKAN PEKARA YANG TERPENTING!!! BAGAIMANA KITA MALAYSIA INI YANG MANA SEBUAH NEGARA ISLAM DAN AGAMA PERSEKUTUANYA ISLAM TELAH MEMBINA PATUNG-PATUNG YANG BEGITU TINGGI SEHINGGAKAN LEBIH TINGGI DARI KUBAH MASJID!!! )
Perkara ini tidak dapat ditoleransi dan bisa mengembalikan peristiwa hitam 13 Mei yang akhirnya tidak menguntungkan sesiapa juga.
Islam tidak pernah meletakkan ketertinggian secara fizikal tetapi diukur melalui ketaqwaan seseorang. Kedua perlembagaan pertama di dunia iaitu Piagam Madinah juga mempertahankan hak bukan Islam untuk beragama. Ketiga Islam melarang umat - umatnya merosakkan harta benda.
Allah yang Maha Esa lagi Pengasih berfirman:
"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat”.
Allah juga berfirman:
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim".
Saya juga ingin memetik ayat al-Quran,
"Dan janganlah kamu caci benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan." ( Surah Al-An’aam ayat 108 )
Manakala hadith riwayat Abu Daud memberitahu:
Tuhanmu yang sebenar-benarnya Maha PERKASA pernah berfirman :
"Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti saya, dan barangsiapa yang menyakiti saya, maka ia telah menyakiti Tuhan".
Selain itu, Apache juga menyatakan;
TUNTUTAN INI BUKAN MERUPAKAN SUATU YANG RACIST, SEBALIKNYA IANYA MERUPAKAN LUAHAN KAMI YANG BERADA DI BAWAH INI. KAUM BANGSA PENDATANG YANG LAIN TIDAK AKAN BERKOMPROMI DENGAN KERAJAAN YANG ADA SEKARANG INI. MEREKA AKAN MENUNTUT HAK YANG ADA PADA BUMIPUTERA!!!
DAN KAMI MINTA SEBELUM TERJADI APA-APA MAKA PERMINTAAN YANG EMPAT NI DITUNAIKAN KERAJAAN MALAYSIA.
SEKALI LAGI SAYA MENYAMPAIKAN AMARAN KEPADA KERAJAAN MALAYSIA!!!
BAHAWA MEREKA KAUM PENDATANG INI TIDAK AKAN MENYOKONG BUMIPUTERA!!! MEREKA AKAN MENYOKONG PUAK MEREKA SAHAJA!!! MEREKA AKAN MENINDAS BUMIPUTERA SECARA HALUS DAN SULIT!!! SEHINGGAKAN PERJUANGAN KOMUNIS YANG MEMBUNUH UMAT ISLAM DAN MELAYU JUGA MEREKA PERJUANGAKN, APATAH LAGI SELEPAS INI!!!
Atas pemerhatian yang dijalankan ke atas tuntutan yang ini, penulis blog ini sebenarnya mencadangkan untuk menghapuskan Perlembagaan Negara, Rukun Negara dan Perdana Menteri Melayu keenam. Dia juga mencadangkan agar umat Islam lari daripada tuntutan dan suruhan Al - Quran dan Hadis.
Rencana membidas artikel blog aminchenor ini bukan berhasrat untuk menghalang kebebasan Apache dalam memberi pendapat. Artikel beliau disiarkan pada 22 Mei lalu mempunyai unsur perkauman dan sudah tentunya berbau hasutan.
Di dalam Negara pelbagai kaum seperti Malaysia ini, isu antara-kaum sebegini perlu ditulis dengan amat teliti agar tidak mendatangkan sebarang kemarahan kaum lain.
*Faisal Mustaffa ialah penulis bebas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan