HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 April 2010

Serangan Umno-BN Terhadap Zaid Tak Ada Kelas

Oleh Norasikin Samsi


KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan serangan peribadi terhadap calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya kecil Hulu Selangor berhubung isu arak merupakan tindakan Umno-Barisan Nasional yang tidak ada kelas dan bakal memakan diri sendiri.

Menurut beliau, Umno-BN akan menggunakan apa sahaja cara untuk memastikan Zaid tidak berada di parlimen.

Beliau juga mendedahkan penglibatan pemimpin Umno-BN dalam kancah serupa.

"Semua Perdana Menteri yang perintah Malaysia terlibat dengan arak kecuali Abdullah Badawi.

"Yang lain terlibat, ada saya tengok dengan mata kepala saya sendiri pun ada, tapi saya tak mahu cakaplah," katanya.

Menurutnya, lebih memalukan pemimpin Umno tidak terlepas daripada gejala rasuah, arak, judi dan perempuan.

"Ini budaya dalam Umno, saya pernah dalam kerajaan dulu, saya tahu. Tidak ada seorang pun pemimpin Umno terlepas dari salah satu benda ini," katanya ketika mengulas serangan yang dilakukan Barisan Nasional ke atas Zaid pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut semalam.

Sebelum itu, beliau turut memaklumkan bahawa PAS menambah bilangan petugas ke Hulu Selangor bagi membantu gerak kerja kempen dalam misi memenangkan Zaid pada pilihan raya kecil Parlimen itu Ahad ini.

"PAS malam tadi (19 April) membuat keputusan akan 'all out' hantar tenaga kita sebanyak mana yang diperlukan untuk membantu PKR (KEADILAN)," katanya.

Menurut beliau, keputusan menghantar pasukan tambahan itu dibuat pada mesyuarat jabatan pilihan raya yang dipengerusikan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Beliau berkata, dengan kerahan tenaga baru itu membolehkan bilangan petugas PAS di Hulu Selangor akan meningkat dari 20 peratus kepada 60 peratus.

"Kita ada sumber yang tidak terhad, walaupun Zaid calon PKR, tapi Zaid adalah calon PKR, DAP dan PAS," katanya lagi.

Tiada ulasan: