HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 April 2010

Suhakam Gesa Kaji Semula Undang-undang Orang Asal

Oleh Norihan Adnan

KUALA LUMPUR - Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk N Siva Subramaniam menggesa undang-undang berkaitan dengan hak Orang Asal di Malaysia dikaji semula.

Beliau menegaskan masalah masyarakat Orang Asli bukan hanya di Hulu Selangor, bahkan di seluruh Malaysia sambil berkata Suhakam menerima banyak menerima aduan berkenaan dengan masyarakat Orang Asal.

Siva mencadangkan supaya dikaji semula undang-undang yang berkaitan dengan Orang Asal dengan menekankan isu tanah yang menjadi hak milik mereka.

"Orang kita juga perlu berubah sikap. Orang Asal juga berhak dilayan secara adil. Setakat ini, saranan ini tidak begitu diterima masyarakat kita.

"Sekiranya ada penyelewengan, boleh lapor kepada Suhakam, tiada halangan. Boleh juga lapor kepada polis tetapi setakat ini, tiada laporan yang kami terima," kata Siva selepas menerima memorandum daripada wakil Orang Asal dari Hulu Selangor yamng membuat aduan bahawa mereka telah diugut oleh pihak tertentu supaya tidak keluar mengundi pada Ahad ini.

Beliau menegaskan bahawa setiap rakyat Malaysia termasuk Orang Asli berhak untuk berunding demi kepentingan mereka.

Suhakam juga boleh membantu dalam menyelesaikan masalah ini.

"Mereka juga perlu sedar bahawa mereka juga boleh bawa perubahan kepada diri sendiri. Perubahan juga tak mudah. Ini memerlukan banyak kesabaran," katanya lagi.

Ditanya berkenaan proses mengundi bagi masyarakat itu dalam sesebuah pilihan raya, menurut Siva, Orang Asal juga berhak mengundi serta menentukan siapa pemimpin mereka.

Mac lalu, lebih 2,000 Orang Asli datang ke Putrajaya bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri berhubung dasar pemberi milikan tanah.

Dalam perhimpunan ini, Orang Asal membawa sepanduk dan kain rentang, antaranya berbunyi 'Hak Kami Selaku Orang Asal Perlu dihormati', 'Jangan Hapuskan Akta Kami' dan 'Iktirafkan Wilayah Adat Kami'.

Memorandum tersebut turut menuntut supaya dasar pemberimilikan dimansuhkan dan hak wilayah adat Orang Asal hendaklah diwartakan sebagai rizab Orang Asal.

Turut dikepilkan dalam memorandum berkenaan ialah cadangan pindaan Akta Orang Asli (Akta 134) yang dikemukakan Persatuan Orang Asal Semenanjung Malaysia.

Di Hulu Selangor pula, mereka berharap isu tanah dapat diselesaikan segera. Isu tanah, kebajikan dan perubahan taraf hidup dibangkitkan oleh kebanyakan Orang Asal yang mendiami kampung-kampung tradisi di Kuala Kubu Baru, Batang Kali dan Hulu Bernam.


Tiada ulasan: