KUALA LUMPUR – Sebanyak 90 peratus remaja bermasalah seperti mengandung luar nikah mengakui tiada tempat rujukan membuatkan mereka mengambil keputusan drastik termasuk membuang bayi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, perkara itu diperoleh hasil pertemuannya dengan para remaja bermasalah ketika mengikuti program dan mengunjungi rumah perlindungan.
Beliau berkata, akibat tiada tempat merujuk, para remaja itu hanya menyuarakan permasalahan kepada rakan sebaya yang tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu.
“Mereka yang sudah tersasar dan merujuk kepada ibu bapa, bukan sahaja dileteri malah ibu bapa tidak mahu menerimanya.
“Jadi, apabila sudah hilang arah dan tak tahu lagi hendak berbuat apa-apa, mereka mencari jalan penyelesaian sendiri dan akhirnya membuat keputusan tidak sepatutnya seperti buang bayi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Santai Sambil Berhibur Bersama Remaja anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.
Hadir sama pada program sehari yang bertemakan Hargai Usia Remajamu ialah Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz.
Mashitah berkata, pencegahan secara holistik perlu dilakukan dengan mengambil pendekatan menyelesaikan masalah yang telah terjadi serta mencegah masalah tersebut sebelum ia berlaku.
Katanya, program yang dianjurkan Jakim itu merupakan alternatif terbaik untuk mendekati para remaja dan menjadi platform kepada mereka dalam mencari sumber rujukan dan menyalurkan masalah.
Dalam pada itu, beliau kesal terhadap kejadian membaling telur busuk oleh penyokong pembangkang sebagai mengecam isu Apco yang berlaku di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh, Perak semalam.
Beliau berharap, masyarakat dapat menilai dan membuat pilihan terbaik terhadap pihak-pihak mendakwa memperjuangkan agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan