Oleh Rusnizam MahatKUALA KUBU BAHARU - Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Fuziah Salleh berkata, Umno menggunakan taktik jahat dengan menyerang peribadi lampau calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim sehingga seolah-olah meletakkan hukum Allah di tangan mereka.
"Semua orang ada (pengalaman) masa lampau, Datuk Zaid sendiri menyatakan begitu dalam ucapan beliau semalam. Setiap orang ada masa lampau tetapi beliau menyatakan dia sudah berubah apabila dia masuk ke dalam Pakatan Rakyat terutamanya apabila dia balik daripada menunaikan haji baru-baru ini," kata beliau pada sidang media di pusat media Pakatan Rakyat di Kuala Kubu Baru tengahari tadi.
Beliau menjawab dakwaan Umno bahawa Zaid merupakan seorang pemimpin yang gemar minuman keras ketika berada dalam Umno dan kerajaan.
"Kita sebagai manusia harus tidak menghukum, kalau Allah pun boleh menerima taubat seseorang, kenapa Barisan Nasional menggunakan taktik kotor ini untuk membunuh karektor berasaskan masa lampau seseorang, dalam keadaan seseorang itu telah berubah?.
"Dia masuk dalam Pakatan Rakyat dia 'reform', kemudian dia pergi haji dia 'reform'. Ini merupakan taktik sangat kotor BN. Mereka patut rasa malu, Perdana Menteri Najib harus malu menggunakan taktik kotor begini. Dia patut bercakap apa yang mahu dilakukan untuk rakyat bukan bercakap tentang peribadi lampau seseorang yang telah berubah," tegas Fuziah lagi.
Menurut Ahli Parlimen Kuantan itu, tidak ada dalam ajaran mana-mana agama sekalipun yang menghukum penganutnya yang mahu membuat perubahan daripada perkara buruk kepada sesuatu perkara yang lebih baik.
"Bila seseorang itu telah bertaubat dan berubah, orang lain tidak ada hak untuk menghukum mereka. Tuhan pun tidak menghukum mereka. Jadi siapa BN untuk melakukan itu?," ujarnya.
Fuziah mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya supaya memantau jentera BN supaya tidak menjadikan pilihan raya itu sebagai medan bagi menggunakan seluruh taktik kotor menyerang peribadi lampau seseorang.
"Kita tengok banyak taktik kotor yang dilakukan BN memperalatkan SPR dan kini menyerang peribadi lampau seseorang. Tidak ada seseorang dari kita boleh menghukum seseorang terutama terhadap mereka yang telah berubah. Tanggungjawab manusia ialah untuk menutup aib seseorang yang lampau dan telah berubah," kata Fuziah lagi.
Ditanya mengenai hubungan kerjasama dengan PAS pada pilihan raya itu, Fuziah berkata kerjasama tersebut sangat baik dan Zaid mendapat sokongan sepenuhnya dari PAS yang telah pun melupakan semua kesilapan Zaid ketika beliau bersama Umno-BN.
"Hubungan kerjasama sangat baik terutama apabila Zaid bercakap dengan Nik Aziz. Nik Aziz sedang berada di Mekah dan mengucapkan selamat berjaya kepadanya.Semalam juga pimpinan PAS membuat satu kenyataan bahawa mereka memberikan sokongan dan mereka sanggup melupakan masa lampau apa yang dilakukan Zaid semasa dia berada di dalam BN," jelas beliau.
Menurut Fuziah, apa yang perlu diketahui oleh rakyat terutama pengundi di Hulu Selangor, segala kesilapan yang didakwa dilakukan Zaid berlaku ketika pemimpin itu berada di dalam Umno.
"Dia di bawah pengaruh Umno-BN pada ketika itu. Pada ketika itu Umno dan BN membentuk minda dia supaya buat perkara-perkara begitu. Sama seperti semasa Anwar berada dalam Umno, dia membuat kesilapan tetapi sekarang beliau telah berubah dan mengetuai Pakatan Rakyat.
"PAS menerimanya dan PAS mengatakan bahawa mereka bersedia dan bersatu tenaga memenangkan Zaid serta melupakan perkara yang lepas-lepas ketika beliau berada dalam BN," tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan