HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Jun 2010

Air ludah ustaz: Asri pertahan kenyataan tapi ‘rombak’ istilah



Asri sedia merombak istilah yang digunakan di dalam artikel beliau. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mempertahankan pendiriannya berhubung isu “air ludah ustaz” walaupun mengakui istilah yang digunakan itu kurang sesuai bagi menggambarkan situasi sebenar peristiwa tersebut.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini, Asri berkata, bersedia untuk ‘merombak’ istilah “air liur ustaz” yang ditulis dalam artikelnya kepada istilah yang lebih sesuai iaitu “bekas mulut”.

“Saya menulis sebegitu kerana mendapat maklumat daripada sumber-sumber yang diyakini tapi kini saya bersedia untuk merombak semula artikel itu dengan menggunakan istilah yang lebih sesuai.

“Saya percaya istilah telan air liur ustaz itu tafsiran yang dibuat orang ramai tetapi asas daripada artikel itu adalah sama iaitu ketaksuban kepada guru.

“Saya akan merombak semula artikel saya dengan menggunakan istilah bekas mulut, mungkin ia lebih sesuai,” katanya.

Semalam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendapati siasatan awal mendapati dakwaan Asri kononnya terdapat upacara telan air ludah penceramah di sebuah masjid di Selangor beberapa bulan lepas mendapati ia adalah air zam-zam.

Pengarah Jais Datuk Muhammad Khusrin Munawi berkata apa yang berlaku hanya sesi meminum air zam-zam yang dikongsi antara jemaah dalam satu cawan bersama penceramah berkenaan.

“Tidak wujud upacara yang didakwa, sebaliknya ia hanya air zam-zam yang dikongsi antara mereka,” katanya.

Beliau berkata amalan yang sama turut berlaku ketika zaman Nabi Muhammad S.A.W di mana para sahabat berkongsi meminum susu menggunakan satu gelas.

Sehubungan itu, Muhammad Khusrin berkata siasatan lanjut akan dijalankan termasuk menyoal siasat seorang lagi saksi iaitu kariah masjid itu dan sekiranya sah upacara berkenaan tidak terlibat, Asri boleh didakwa.

Asri kini berhadapan tindakan undang-undang Jais berhubung kesalahan menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah.

Beliau berkata dakwaan terhadap Asri boleh dilakukan kerana menyebarkan dakwaan palsu melalui kenyataan yang dibuat olehnya mengikut Enakmen Tata Cara Jenayah Syariah 2003 di bawah Seksyen 211.

Asri berkata bersedia untuk berjumpa Jais sekiranya dipanggil untuk memberikan penjelasan.

“Saya bersedia untuk berjumpa dengan Jais bagi menjelaskan apa yang berlaku.

“Saya juga bersedia memberikan kerjasama dengan Jais bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya lagi.

Tiada ulasan: