SUARA KEADILAN
KUALA LUMPUR - Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengucapkan tahniah kepada keempat-empat mahasiswa jurusan Sains Politik UKM serta barisan peguam atas kejayaan memperoleh satu Injunksi Interim secara ex parte bagi menghalang prosiding tatatertib universiti terus dijalankan pada hari ini.
Dalam kenyataan media tersebut, SMM merasakan ini petanda awal yang sangat positif dalam usaha SMM untuk menuntut agar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dimansuhkan.
"Hari ini merupakan sejarah baru dalam gerakan mahasiswa sejak negara kita mencapai kemerdekaan dan kejayaan menangguhkan prosiding adalah kemenangan pertama buat seluruh mahasiswa di negara ini.
"Walau bagaimanapun, kita menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk kembali mendengar semula kes ini secara inter-partes pada 17 Jun 2010.
"Kita yakin bahawa empat orang pejuang mahasiswa ini telah bersedia untuk kes itu nanti. Harapannya, agar semangat dan keazaman mereka tetap kukuh dan berterusan dalam perjuangan," kata kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, SMM turut mengingatkan perbicaraan kes AUKU, Soh Sok Hwa, Jumaat ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pukul 3.30 petang.
SMM konsisten seperti mana kes pada hari ini, SMM dan seluruh pergerakan mahasiswa menolak sama sekali akta tersebut.
Biarpun perjuangan ini sudah lama bermula, namun kami merasakan bahawa kes sepanjang minggu ini memberikan nafas baru kepada pergerakan mahasiswa dalam usaha SMM untuk menuntut supaya AUKU dimansuhkan.
SMM menyeru sekali lagi kepada seluruh pergerakan mahasiswa, anak muda, ahli akademik, serta seluruh masyarakat supaya bersama-sama menolak akta usang itu.
Kami menuntut kerajaan memansuhkan akta tersebut yang mengekang hak dan kebebasan mahasiswa dan lebih penting lagi turut mengekang hak dan kebebasan mahasiswa berakademik.
Tambah mereka, bukan sekadar soal hak dan kebebasan mahasiswa namun atas kesedaran untuk memperbaiki tahap kebebasan akademik yang semakin merudum di kalangan universiti di dalam negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan