HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Jun 2010

Bekas pelajar USM gagal cabar AUKU, bayar RM3,000


IMG_3091 Oleh Jamilah Kamarudin


KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan bekas pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Soh Sook Hwa untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa Seksyen 15 Akta Universiti an Kolej Universiti 1971 (AUKU) adalah tidak mengikut perlembagaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Datuk Mohd Zawawi Salleh yang membuat keputusan itu dalam kamarnya turut menolak permohonan Soh, 28, dengan kos RM3,000.

Peguam mewakili Soh, M Lavendran ketika ditemui pemberita diluar mahkamah berkata, permohonan itu ditolak hakim atas alasan teknikal, iaitu mendapati tiada sebarang ketidakadilan sepanjang prosedur berlaku.

Ini kerana Seksyen 15 AUKU telah pun dipinda pada Februari lalu.

Katanya, Mohd Zawawi juga memutuskan bahawa keputusan pihak responden iaitu Menteri Pengajian Tinggi yang tidak membenarkan rayuan Soh terhadap keputusan pihak Berkuasa Tatatertib USM pada 2 Disember 2004 yang mendapati pelajar itu bersalah dan dihukum dengan diberi amaran dan denda RM200, juga adalah mengikut prosedur.

Walaubagaimanapun Lavendran berkata pihaknya akan berusaha untuk memfailkan rayuan semakan terhadap keputusan.

Seksyen 15 AUKU bercanggah dengan Perlembagaan

"Masih ada ruang lagi buat kami untuk membuat rayuan bagi menyemak semula keputusan hakim kerana apa yang ditekankan disini adalah peruntukan Seksyen 15 AUKU yang jelas bertentangan dengan hak kebebasan bersuara seperti dalam Perlembagaan," katanya.

Pada 16 Ogos, 2005, Soh, bekas pelajar di Pusat Pengajian Komunikasi memfailkan permohonan untuk notis usul bagi semakan kehakiman Mahkamah Tinggi bahawa Seksyen 15, AUKU tidak sah di sisi undang-undang dan patut dibatalkan.

Beliau juga memohon mendapatkan perintah bahawa Kaedah 3 dan 13, Kaedah-Kaedah USM (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999 adalah tidak sah di sisi undang-undang dan patut dibatalkan.

Soh memohon semakan terhadap keputusan kementerian menolak rayuannya berhubung tindakan yang dikenakan oleh lembaga disiplin USM.

Pada bulan Disember 2004, USM mendapati Soh bersalah melanggar Seksyen 15 Auku berdasarkan kepada sekeping gambar yang menunjukkan beliau memakai baju-T yang memaparkan logo parti pembangkang yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan sewaktu pilihanraya umum pada tahun itu.

Lembaga Disiplin USM pada ketika itu mendapati Soh bersalah kerana berkempen untuk calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua di kawasan Parlimen Batu di Kuala Lumpur, didenda RM200 dan diberi amaran keras.

Berikutan itu, Soh yang pada ketika itu merupakan pelajar tahun akhir turut dilarang untuk terus memegang jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bahasa Cina USM berdasarkan peraturan universiti itu yang tidak membenarkan seseorang pelajar memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan di universiti selepas didapati bersalah atas kesalahan tatatertib.

Ini merupakan kes pertama mencabar kesahihan AUKU yang antaranya melarang ahli akademik dan pelajar terbabit dalam politik tanpa kebenaran pihak berkuasa universiti terlebih dahulu.

Tiada ulasan: