KEGHAIRAHAN Kerajaan BN untuk menarik balik subsidi terhadap barang-barang kawalan seperti gula, tepung dan minyak masak dan akan dimansuhkan secara berperingkat mendapat sambutan baik daripada Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dengan syarat BN juga dimansuhkan dan ditarik turun dari kerusi kekuasaan.
Beliau mengaitkan usaha untuk menarik subsidi ini ada kaitan dengan kegagalan kerajaan BN untuk membayar hutang negara yang semakin bertambah. Jumlah hutang yang banyak ini berhubungkait dengan kelemahan BN mengurus harta negara sehingga berlakunya ketirisan sehingga RM28 bilion pada belanjawan 2008.
Mahfuz berkata demikian ketika mengulas ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) bahawa hutang negara akan meningkat 100 peratus daripada keluaran dalam negara kasar menjelang tahun 2019 jika pemberian subsidi berterusan.
Idris berkata demikian pada hari terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi yang berlangsung selama dua hari bermula Khamis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang antara lain mencadangkan supaya subsidi terhadap barang-barang kawalan seperti gula, tepung dan minyak masak dimansuhkan secara berperingkat.
Untuk mengalih isu kelemahan mereka, BN cuba mengadudomba dan mengacau kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat seperti Kedah dan Selangor. Sedangkan kerajaan Pakatan Rakyat masih dalam keadaan mencuci ‘tahi’ yang kering dan melekat pada kerajaan Kedah dan Selangor sejak merdeka dan kekuasaan rakus BN. Mereka cuba bandingkan dua tahun pemerintahan Pakatan Rakyat dengan 50 tahun kekuasaan BN dari segi pembangunan.
Mahfuz berkata demikian ketika ceramah beliau bersama pimpinan Pakatan Rakyat di Pusat Tarbiyyah PAS Tawau.Turut memberi ucapan Pesuruhjaya PAS Sabah, Tuan Hj Muhammad Abdullah, Jimmy Wong, ADUN DAP Sri Tanjung, Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu dan Wakil penduduk Merotai yang tanah mereka dirampas kerajaan.
Kehadiran ceramah Pakatan Rakyat di Tawau semakin bertambah termasuk penglibatan kaum Cina, Iban dan penduduk tempatan. Mood rakyat cukup memberangsangkan untuk melonjak Pakatan rakyat di Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan