HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 Jun 2010

JIM: Jangan kaitkan kami dengan fahaman wahabi, JI


KUALA LUMPUR – Jamaah Islam Malaysia (JIM) hari menyelar Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin yang didakwa menuduh pertubuhan itu mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

“Apa bukti JIM terlibat dengan JI? Adakah Zahiman ada bukti mengatakan JIM mempunyai kaitan? Jika ada, buktikan kepada semua.

“Jangan sesuka hati lemparkan tuduhan-tuduhan yang liar seperti jika tiada bukti,” kata Presiden JIM, Zaid Kamaruddin (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Zaid juga mahu Zamihan memohon maaf kepada JIM kerana membuat tuduhan itu.

“Kami mahu beliau meminta maaf kerana memfitnah kami.

“Tuduhan liar yang dilemparkan oleh Zamihan akan menyebabkan keselamatan negara terancam kerana rakyat akan mula takut apabila mengetahuinya,” tegas beliau sambil mengulangi bahawa JIM tidak terlibat dengan sebarang fahaman wahabi ataupun pengganas JI.

Beliau juga berkata, tuduhan tersebut telah menjatuhkan imej dan kredibiliti JIM.

“Tuduhan-tuduhan yang tidak berasas seperti itu telah menjatuhkan imej dan kredibiliti pertubuhan ini.

“Justeru saya harap rakyat jangan mempercayai tuduhan-tuduhan yang cuba menjatuhkan nama baik JIM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian dua pemimpin agama termasuk bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa pendedahan wujudnya peranan JI sambil dikaitkan dengan tokoh-tokoh tokoh politik kemungkinan besar merupakan “mainan politik kotor kerajaan” untuk mengalih isu semasa.

“Dengan ini, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar.

“Bahkan ia bermungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu,” kata dua pemimpin berkenaan dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Selain Asri, seorang lagi pemimpin agama yang mengeluarkan pendirian itu ialah Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya iaitu Mufti Perlis yang juga anggota Majlis Fatwa Kebangsaan.

Asri dan Juanda menambah, buktinya laporan media yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman Isnin lalu telah didakwa bahawa nama kedua-dua mereka bersama Presidan PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Shahidan Kassim serta ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

“Demikian dikaitkan pertubuhan JIM dengan rangkaian pemikiran radikal di Timur Tengah,” kata Asri dan Juanda.

Dakwaan itu didakwa dibuat pada taklimat yang diberikan kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang turut dihadiri oleh pengurusan kanan universiti-universiti awam tempatan.

Tiada ulasan: